CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Taklimat Pengenalan EKSA

Pada 25 Mac 2024, Canselori UMT telah menganjurkan program Taklimat Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) bertempat di Bilik Jamuan Senat UMT. Program taklimat ini yang telah disampaikan oleh Puan Safura Mad Juhari, Pengarah Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT). Taklimat ini bertujuan memberikan pendedahan kepada warga Canselori mengenai pelaksanaan EKSA dan kriteria pengauditan bagi mendapatkan persijilan EKSA.

Menurut Puan Safura, Ekosistem Kondusif Sektor Awam atau EKSA telah diperkenalkan mulai Januari 2014 sebagai inisiatif penjenamaan semula Amalan 5S Sektor Awam oleh pihak MAMPU dengan mengambil kira keperluan bagi mengetengahkan persekitaran tempat kerja yang berkualiti dan kondusif supaya lebih relevan kepada jabatan atau agensi sektor awam.

Menurut beliau lagi, komponen utama dalam pelaksanaan EKSA masih berteraskan Amalan 5S yang ditambahbaik di samping penambahan beberapa elemen baharu. EKSA bukan bertujuan untuk menggantikan konsep 5S yang diamalkan sebelum ini, sebaliknya menambah baik elemen 5S tersebut dengan menyokong kepada pengwujudan persekitaran kerja yang lebih kondusif. Amalan 5S ditambah baik dengan menambah lima elemen baharu iaitu Imej korporat, Kreativiti dan Inovasi, Amalan Hijau, Persekitaran Kondusif dan Kepelbagaian Agensi.