CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT akan terbitkan Dokumentari Memartabat Institusi Raja-Raja Melayu Berdaulat (Edisi KDYMM Sultan Terengganu)

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan bekerjasama dengan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) bagi penerbitan Dokumentari Memartabat Institusi Raja-Raja Melayu Berdaulat (Edisi KDYMM Sultan Terengganu).

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar, inisiatif penerbitan dokumentari akan memupuk kesedaran kepada generasi muda mengenai kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu dan kepentingannya dalam pembentukan Negara Malaysia. Ia juga akan menyemai perasaan cinta dan bangga terhadap sejarah Kesultanan Melayu yang merupakan paksi kepada kewujudan sistem kenegaraan ini serta memberikan pendedahan kepada masyarakat bahawa pembinaan tamadun Negara Malaysia berakar umbi dari jasa dan sumbangan Institusi Raja-raja Melayu yang berdaulat.

Beliau berkata demikian selepas upacara mengadap dan memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu pada 24 Mac 2024 di Istana Syarqiyyah Terengganu.