Bahagian Audit Dalam melaksanakan pengauditan, perundingan dan khidmat nasihat dengan memberi kepastian melalui pendapat profesional terhadap kesempurnaan, kebolehpercayaan dan keberkesanan proses tadbir urus, pengurusan risiko dan sistem kawalan dalaman PTj/UMT bagi menentukan wujudnya akauntabiliti dan integriti pengurusan kewangan, pengurusan sumber dan program bagi semua peringkat di universiti.
Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko (JKAPR) merupakan Jawatankuasa Lembaga yang ditubuhkan oleh Lembaga Pengarah Universiti, berperanan dalam pengawasan tadbir urus, pengurusan risiko dan kawalan dalaman organisasi untuk menggalakkan penambahbaikan yang berterusan bagi mempertingkatkan integriti dan kebolehpercayaan terhadap universiti.
Penubuhan JKAPR adalah berdasarkan peruntukan Seksyen 21 Perlembagaan Universiti Malaysia Terengganu dan Seksyen 5.17 Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1998. JKAPR bermula dengan penubuhan Jawatankuasa Audit pada 30 April 2001 dalam resolusi Minit Mesyuarat Pertama Lembaga Pengarah, Kolej Universiti Terengganu (KUT).
Berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko Kali Ke-43 Bil. 1 Tahun 2017 pada 25 Mei 2017, Jawatankuasa Audit telah diubah kepada JKAPR bagi mengambil kira pelaporan oleh Pusat Transformasi, Perancangan Strategik dan Risiko (TSR) kepada jawatankuasa ini.
Ahli Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko (JKAPR), secara kolektif mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang pengawasan tadbir urus, pengurusan risiko dan kawalan dalaman organisasi serta pengetahuan audit, kewangan, industri, teknologi maklumat dan undang-undang. Semua ahli JKAPR termasuk Pengerusi dilantik oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan tempoh pelantikan adalah tertakluk kepada kelulusan LPU.
