CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

KSN dilantik sebagai Pro-Canselor UMT

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali telah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baharu berkuat kuasa 1 Mac 2024. Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd. Ghafar, pelantikan Mohd. Zuki bagi tempoh tiga tahun sehingga 2027 itu telah mendapat perkenan Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah.

Menurut beliau lagi, pada masa ini Tan Sri Samsudin Osman telah dilantik sebagai Pro-Canselor UMT sejak tahun 2010. Dengan pelantikan ini, maka UMT mempunyai dua orang Pro-Canselor. Mohd. Zuki merupakan anak jati Kuala Terengganu yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Beliau yang dilantik Ketua Setiausaha Negara sejak 31 Disember 2019 pernah berpengalaman sebagai Setiausaha Sulit Kanan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-13 dari tahun 2006 hingga 2011. Mohd. Zuki juga pernah menyandang jawatan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Persekutuan Sarawak sepanjang perkhidmatan dalam sektor awam.