CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT lancar Pusat Penyelidikan Bersama dengan Shantou University

UMT telah memeterai Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Shantou University (STU), China serta melancarkan Pusat Penyelidikan Bersama UMT-STU. Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) UMT dan Institut Bioteknologi Marin (IMB) STU telah berjaya menubuhkan pusat penyelidikan antarabangsa baharu iaitu “International Joint Research Center for the Development and Utilization of Important Mariculture Varieties Surrounding the South China Sea Region” di Shantou University, China.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar, majlis MoU UMT-STU kali ini adalah kesinambungan kepada kerjasama MoU kedua-dua institusi sebelum ini, yang telah banyak memberikan impak yang membanggakan, antaranya UMT-STU Joint Shellfish Research Laboratory telah menghasilkan lebih 100 journal berimpak tinggi dan pelbagai program pertukaran kepakaran penyelidik serta pertukaran pelajar telah berjaya dilaksanakan.

Menurut beliau lagi, UMT-STU merupakan dua institusi pendidikan tinggi yang menjalankan penyelidikan dan mempunyai bidang tujahan yang hampir sama. Kajian yang dijalankan melibatkan aktiviti penyelidikan dalam bidang mikroplastik, mamalia marin, kajian bencana ekosistem marin dan sebagainya. Peluang untuk meneruskan kerjasama ini amatlah bertepatan dengan hasrat UMT dan STU untuk membantu dalam pemuliharaan ekosistem dan alam sekitar disamping membantu dalam aspek pembangunan keterjaminan makanan di Negara masing-masing.

Turut hadir, Naib Presiden STU, Prof. Dr. Liu Wenhua, Pengarah Pusat Antarabangsa STU, Dr. Gao Jian, Dekan Kolej Sains STU, Prof. Dr. Zhang Yueling, Pengarah AKUATROP UMT, Prof. Dr. Muhammad Ikhwanuddin Abdullah dan para penyelidik kedua-dua institusi.