Seramai 200 orang pelajar Pasukan Badan Beruniform UMT telah menghadiri Program Sembang Integriti “Badan Beruniform Penggerak Kesukarelawan Mahasiswa” di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT. Program ini diadakan sempena sambutan Hari Integriti Nasional 2023 peringkat UMT dan dianjurkan oleh Unit Integriti UMT dengan kerjasama Pusat Kokurikulum dan Citra Pelajar UMT.
Dua orang tokoh telah ditampilkan sebagai ahli panel iaitu Datuk (Dr) Mustapha Ahmad Marican yang merupakan seorang tokoh aktivis NGO dan Profesor Adjung UMT, serta Encik Borhanuddin Mohd Yusof, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Citra Pelajar UMT. Kedua-dua tokoh telah berkongsi pengalaman dalam kerjaya serta membicarakan mengenai pentingnya penghayatan budaya integriti dan kesukarelawanan dalam membina sahsiah pelajar di universiti. Malah mereka juga menekankan aspek pentingnya menjadi anggota badan beruniform kerana ia dapat membantu pelajar dalam menonjolkan keterampilan diri dan sikap profesional sewaktu bergraduat dan melangkah ke alam pekerjaan nanti.
Program ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Juhari Abd Kadir, Pegawai Integriti dan turut hadir adalah Encik Abdullah Syukri M. Saleh, Ketua Unit Integriti UMT.