Judi atau ‘qimar’ dalam bahasa Arab bermaksud aktiviti atau permainan yang melibatkan pertaruhan nasib antara untung dan rugi. Maka perjudian bukan sahaja khusus kepada aktiviti yang dilakukan di pusat judi, kasino dan kedai nombor ekor, bahkan setiap pertaruhan yang melibatkan wang dan harta antara untung atau rugi adalah dikira judi di sisi syarak. Menyedari hal ini, bentuk-bentuk judi boleh berlaku dalam pelbagai cara, antaranya sebahagian permainan cuba nasib di pesta pantai, tikam nombor yang dijual kepada kanak-kanak, sehinggalah kepada permainan melibatkan daun terup, dadu, berlaga ayam dan seumpamanya.
Subhanallah, rupa-rupanya elemen judi ini telah berada dalam masyarakat sejak daripada anak kecil. Maka tidak hairanlah, jika ada di kalangan orang dewasa tidak berasa bersalah apabila membeli nombor ekor, walaupun dia bersolat dan berpuasa.
Telah maklum di sisi umat Islam bahawa judi adalah haram berdasarkan kepada firman Allah Taala dalam surah Al-Maidah, ayat 90, yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semuanya kotor, keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Maka ulama telah berijtimak tentang pengharaman judi ini, sehinggakan sesiapa yang menghalalkan judi dihukumkan sebagai kafir kerana menafikan sesuatu yang telah maklum dalam agama. Sesungguhnya Allah Taala mengharamkan judi kerana judi membawa banyak mudharat yang besar sama ada di dunia mahupun akhirat. Antara nasihat akibat judi ialah –
Pertama : Judi membawa kepada kepapaan dan kemiskinan. Orang yang berjudi akan membelanjakan harta dan wang ringgit untuk memenuhi nafsu berjudi. Gaji, duit simpanan, dan nafkah keluarga terpaksa dihabiskan untuk berjudi yang kebanyakkannya berakhir dengan kerugian.
Kedua : Judi menghilangkan keberkatan dalam harta dan kehidupan dunia. Mereka yang berjudi jika menang sekalipun, tidak akan mendapat keberkatan pada harta dan kehidupan. Harta yang diperolehi akan habis dengan cepat dan tanpa disedari, lebih-lebih lagi pada tempat maksiat. Nafkah yang diberikan kepada anak isteri daripada sumber haram ini akan menyebabkan hilangnya kebahagiaan, kasih sayang dan ketenangan dalam keluarga. Apa gunanya harta yang banyak, jika tiada berkat dan keluarga porak-peranda.
Ketiga : Judi menyebabkan pergaduhan dan pertelingkahan. Pergaduhan dan pertelingkahan boleh tercetus akibat rasa tidak puas hati antara pihak yang berjudi. Hal ini kadang-kadang boleh membawa kepada pembunuhan dan kes jenayah yang lain. Tidak hairanlah Allah SWT sendiri menyatakan keburukan ini dalam firmanNya dalam surah Al-Maidah, ayat 91 yang bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukan kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”
Keempat : Berjudi membawa kepada meninggalkan kewajipan dan melakukan maksiat. Aktiviti judi yang biasanya berlaku ditempat-tempat tertutup, akan membawa kepada maksiat-maksiat lain seperti minum arak, pengambilan dadah, penzinaan dan lain-lain. Tentu sekali, mereka yang berada dalam situasi ini akan lalai lalu meninggalkan kewajipan solat, mencari nafkah dan menjaga ahli keluarga.
Kelima : Berjudi membawa kemungkaran Allah dan azab yang pedih. Judi termasuk daripada dosa besar yang mendekatkan murka dan azab daripada Allah. Perbuatan ini disamakan dengan najis dan amalan syaitan yang amat dikutuk oleh syarak. Imam Muslim meriwayatkan daripada Buraidah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang bermain dengan dadu iaitu berjudi, maka seolah-olah dia mencelupkan tangannya ke dalam daging dan darah khinzir.”
Di samping itu, orang yang memperolehi hartanya daripada sumber yang haram, sebenarnya telah menempatkan dirinya ke neraka tanpa disedari. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak tumbuh sejenis daging daripada sumber yang haram, kecuali adalah api neraka lebih layak untuknya.” (HR Tirmizi)
Kita kini berada di zaman moden yang penuh dengan kemajuan dan teknologi yang hebat. Seiring dengan perkembangan zaman, aktiviti judi juga turut berkembang dengan pelbagai alat dan cara. Berjudi kini amat mudah dilakukan secara atas talian dan menggunakan alat elektronik. Apapun bentuk dan caranya, judi tetap judi. Perbezaan cara melakukan judi tidak menjadikan judi itu halal, dan tidak juga meringankan azab dan hukumnya di sisi Allah Taala.
Di samping itu, perlu diingat bahawa bentuk-bentuk pertandingan yang melibatkan yuran yang perlu dibayar untuk dijadikan hadiah kepada pemenang juga termasuk dalam erti perjudian. Ini kerana peserta telah membayar dan membuat pendaftaran dengan harapan dapat membawa pulang wang atau hadiah yang dikumpulkan daripada yuran tersebut. Maka seelok-eloknya pihak penganjur pertandingan merujuk terlebih dahulu kepada para alim ulama dan pihak berkuasa agama, bagi mendapatkan nasihat agar aktiviti yang dianjurkan tidak melibatkan unsur-unsur perjudian.
Alhamdulillah pihak kerajaan amat prihatin terhadap isu ini dan telah mewartakan Enekmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 yang menyatakan bahawa “Mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.”
Sebagai penutupnya, marilah kita menanamkan rasa benci terhadap amalan judi. Sesungguhnya judi membawa kepada kesengsaraan hidup dunia dan akhirat. Sanggupkan kita memberi nafkah kepada anak isteri dan keluarga dengan hasil yang haram. Keluarga yang bahagia dan masyarakat yang harmoni tidak akan terbina dengan sumber nafkah dan harta yang haram. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Maidah, ayat 92 yang bermaksud, “Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul dan awaslah. Oleh itu, jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintah dengan jelas nyata.”
[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 10 November 2017]