UMT Sertai Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu
Seramai 34 orang staf dan pelajar UMT telah menyertai perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-66 peringkat negeri Terengganu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu pada 31 Ogos 2023. Dengan tema “Malaysia Madani, Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, Pasukan Perbarisan UMT telah mengetengahkan konsep “santai merdeka” dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang yang diketuai oleh Encik Haffez Fadzlie bin Razmi selaku Ketua Kontinjen Perbarisan UMT pada tahun ini.
Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail telah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Perarakan berkenaan. Turut berangkat, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.