UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Mengukuh Keyakinan dan Memantapkan Pendirian

Belajar-Membaca-Alquran

Sering kita mendengar komen bahawa terdapat orang Islam, walaupun mengaku beriman kepada Allah dan Rasulnya, tetapi masih bertindak di luar ciri sebagai seorang yang beriman. Demikian juga kita sering menerima rungutan bahawa ada orang Islam bersikap acuh tidak acuh kepada pihak berkuasa atau kepimpinan dan kepada masyarakat sendiri. Justeru, marilah kita memeriksa diri, apakah kita benar-benar memenuhi tuntutan beriman kepada Allah. Apakah kita mempunyai pendirian yang tetap sebagai seorang muslim? Untuk itu marilah kita merenung khutbah Jumaat pada hari ini yang bertajuk, “Mengukuh Keyakinan dan Memantapkan Pendirian.” Bagi menjawab persoalan tadi, marilah kita merujuk kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud, “Agama Islam itu ‘An-Nashihah’. Kami bertanya, Kepada siapa? Jawab baginda s.a.w., kepada Allah, kepada kitabNya, kepada RasulNya, kepada para pemimpin umat dan kepada orang Islam.”

‘An-Nashihah’ membawa makna ketulenan dan kemurnian. Ia juga bermaksud pengucapan atau sikap yang membawa penghargaan kepada pihat yang dihadapkan ‘An-Nashihah’ itu. Menurut tokoh ulama hadis Ibnu Rajab, ‘An-Nashihah’ kepada Allah ialah kepercayaan dan keyakinan yang mendalam kepada keesaan Allah serta keikhlasan niat beribadat kepadaNya. Ini bermakna beriman kepada Allah menuntut keyakinan yang tidak berbelah-bagi terhadap keesaan dan betapa Maha Suci Allah s.w.t. daripada sebarang kelemahan dan kekurangan. Keyakinan yang bertunjang dalam qalbu ini, diserlahkan melalui perlakuan, akhlak dan kehidupan seseorang yang mengaku beriman.

Seorang muslim mukmin yang mempunyai keyakinan mendalam tidak akan terlebih dengan perlakuan maksiat, aktiviti tidak bermula dan tidak sekali-kali bersifat munafik. Ini kerana kepercayaan yang diperkukuhkan dengan keyakinan menjadikan seseorang itu malu dan merasa sangat keterlaluan mengerjakan kemaksiatan di hadapan Allah, Tuhan yang menciptakannya, melimpahkan nikmat kepada keberadaannya dan Maha Mengetahui setiap apa yang ada pada dirinya.

‘An-Nashihah’ kepada kitab Allah pula bermaksud beriman dengan keyakinan tanpa ragu bahawa Al-Quran sebagai kalam dan perintah Allah yang mulia. Keyakinan itu dibuktikan dengan sentiasa membaca dan tadabur setiap ayatnya. Seterusnya menghayati pengajaran, hukum hakam dan maklumat di dalamnya. Al-Quran dijadikan teras ilmu dan kebijaksanaan. Dengan al-Quran, keyakinan kepada Allah semakin mantap tanpa ragu lagi. Dengan al-Quran, seseorang itu lebih mulia, mempunyai harga diri dan sahsiah terpuji.

Seterusnya ‘An-Nashihah’ kepada Rasulullah s.a.w. bererti beriman dengan penuh yakin kepada kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., menerima tanpa was-was segala apa yang dibawa oleh baginda, mentaati dan mengidupkan sunnah, mengasihinya dan bersedia menghadapi dengan sesiapa yang memusuhi baginda. Beriman kepada baginda juga bermakna mengasihi diri dan keluarga dengan mencontohi akhlak baginda yang sangat mulia. Keyakinan kepada Rasul menjadikan diri seseorang itu bersyukur, berbangga kerana menjadi umatnya dan tidak akan mencemarkan nama baik baginda dengan perlakuan yang tidak senonoh. Dia sentiasa berpegang kepada firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud, “Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.”

‘An-Nashihah’ kepada kepimpinan Islam ialah mematuhi dengan menyokong dan membantu segala perancangan dan pelaksanaan yang baik. Merasa terpanggil dengan penuh tanggungjawab untuk menyertai program-program mengembangkan ajaran Islam, memajukan pendidikan, meningkatkan sosio-ekonomi, mewujudkan keamanan dan apa jua usaha demi kepentingan umat Islam dan warga negara. ‘An-Nashihah’ kepada kepimpinan bukan dengan menentang secara melulu kerana menurut emosi, bukan dengan pendekatan mengutuk, mencaci atau mendorong kepada kebencian. Sebaliknya, diambil pendirian yang bermaruah, berhemah dan dimantapkan dengan adab-adab Islam. Patuh, sokong dan bantu mana yang betul di samping berani memberi pandangan, teguran dan peringatan jika terdapat bibit-bibit awal penyelewengan.

Akhir sekali, ‘An-Nashihah’ kepada orang ramai, keluarga, sahabat handai dan kenalan, ialah dengan berlaku baik kepada mereka sebagaimana kita suka mereka berlaku baik terhadap kita. Menumpahkan rasa simpati, menyayangi orang muda dan menghormati warga tua di kalangan mereka. Sentiasa mengutamakan kepentingan mereka dan menghindarkan perkara-perkara yang menyusahkan atau membahayakan mereka, sama ada lahir daripada kita mahupun daripada unsur-unsur lain walaupun di luar pengetahuan mereka. Jika mereka tersasar daripada landasan syariat, perbetulkan mereka dengan teguran yang ikhlas dan berhikmah. Sempena hari yang mulia ini, marilah kita menguatkan dan meningkatkan keimanan dan keyakinan kita kepada Allah s.w.t., Rasulullah s.a.w. dan al-Quran dengan meningkatkan ilmu dan akhlak mulia. Di samping itu, kita hendaklah mempunyai pendirian positif dan mantap apabila berhadapan dengan isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam dan seluruh umat.

[Petikan Khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT pada 23 September 2016]