Masjid merupakan tempat yang paling mulia di sisi Allah SWT di atas muka bumi ini. Allah SWT menyandarkan masjid pada diriNya sebagai suatu bentuk kemuliaan dan penghormatan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Jin, ayat 18 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu untuk ibadah kepada Allah semata-mata, maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersama-sama Allah.”
Abu Hurairah r.a. beriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tempat yang paling dicintai Allah SWT adalah masjid-masjidNya dan tempat yang paling Allah SWT benci adalah pasar-pasarnya.” (HR Muslim)
Imam Nawawi r.a. menjelaskan bahawa tempat-tempat yang paling Allah cintai dalam sesebuah negeri adalah masjid-masjidNya, kerana masjid merupakan tempat ketaatan dan dibangunkan atas dasar takwa. Sebaliknya, tempat yang Allah SWT benci dalam sesebuah negeri adalah pasar-pasarnya, kerana pasar kebiasaannya menjadi tempat berlaku perbuatan menipu dalam jual beli, sumpah-menyumpah, dusta, melanggar janji, lalai dari mengingati Allah SWT dan tindakan-tindakan lain yang melanggar tatasusila dan akhlak yang baik.
Atas asas ketakwaan terbinanya masjid, demikian jugalah sesungguhnya golongan yang sentiasa suka dan terpaut hatinya untuk ke masjid adalah orang-orang yang sentiasa mengharap keredhaan Allah SWT dan orang-orang yang teguh imannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu melihat seseorang lelaki yang berulang-alik ke masjid maka saksikanlah baginya dengan keimanan.” (HR Tirmizi)
Masjid merupakan institusi yang mula-mula sekali dibangunkan oleh Rasulullah SAW. Pada zaman Rasulullah SAW, masjid mempunyai peranan yang besar dan penting dalam membangunkan masyarakat. Masjid adalah pusat ibadah dan dalam masa yang sama adalah pusat pentadbiran sosial, ekonomi dan politik. Di negara kita, institusi masjid adalah institusi yang amat penting dalam masyarakat. Walaupun institusi masjid pada hari ini sudah tidak lagi berperanan sepertimana pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat r.a., masjid tetap penting dalam membentuk keperibadian insan dan memelihara keharmonian serta perpaduan dalam masyarakat.
Oleh itu, umat Islam adalah berkewajipan menzahirkan dan memelihara kemuliaan masjid dengan memakmurkannya. Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 36 yang bermaksud, “Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya, terutama sekali di rumah-rumah ibadah yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya. Di situ juga dikerjakan ibadah mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”
Pada masa kini, masyarakat terutama ahli-ahli sesebuah kampung mempunyai tanggungjawab yang cukup besar untuk mengimarahkan masjid. Pengimarahan masjid melibatkan dua perkara utama :-
Pertama : usaha-usaha membangun dan memelihara bangunan masjid serta persekitarannya secara fizikal termasuk menjaga kebersihan dan keselamatan masjid bagi keselesaan para jemaah.
Kedua : menjadikan masjid sebagai pusat ibadah dengan kehadiran ahli-ahli qaryah untuk solat berjemaah, beriktikaf, majlis ilmu, dan melaksanakan ibadah-ibadah lain.
Ahli-ahli qaryah juga perlulah mengimarahkan masjid sebagai pusat kegiatan dan pengembangan ilmu pengetahuan kepada masyarakat. Sebagai tempat tumpuan masyarakat, masjid perlu ditonjolkan sebagai institusi yang selamat dan selesa dikunjungi pada setiap waktu oleh semua golongan. Maka akan terserlahlah syiar Islam dan imej masjid sebagai pusat penyatuan ummah.
Akhir-akhir ini imej masjid sebagai tempat yang selamat dikunjungi telah dicemari dengan kes-kes kecurian. Pada tahun 2017 sahaja, dilaporkan bahawa sebanyak 96 kes kecurian di masjid dan surau telah berlaku sehingga bulan November sepanjang tahun lepas melibatkan kehilangan kenderaan termasuk motosikal dan kereta serta harta benda jemaah.
Khatib mengambil kesempatan ini, menyeru kepada ahli-ahli jemaah untuk sama-sama mengambil tanggungjawab bagi menjaga dan memelihara kemuliaan masjid kita dari sebarang sikap yang tidak bertanggungjawab. Ucapan penghargaan juga kita ucapkan kepada pihak keselamatan terutama Polis yang telah melantik seorang pegawai polis yang akan menjadi pengantara, di antara pihak masjid dan polis di masjid-masjid seluruh negeri Terengganu.
Marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT dan mendoakan kesejahteraan buat anggota polis dan pasukan keselamatan yang sedang menjaga keselamatan tanahair dan kemakmuran rakyat. Mudah-mudahan dengan itu, rakyat dan negara kita beroleh keberkatan yang berpanjangan.
[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 16 Mac 2018]