KUALA NERUS, 24 Mac – UMT merupakan lokasi ke 13 daripada 16 lokasi di seluruh negara bagi Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2018. Ia merupakan program ‘flagship’ Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mempromosikan peluang pendidikan yang ditawarkan oleh Universiti Awam dan Swasta, Politeknik, Kolej Komuniti, dan lain-lain institusi pengajian.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh, KPTN diadakan di setiap negeri dan pada kali ini UMT terpilih sebagai penganjur karnival ini bersama dengan KPT. Ini selaras dengan hasrat KPT untuk memberikan peluang pendidikan tinggi kepada semua pelajar termasuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan pelajar lepasan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“KPTN adalah promosi program pengajian secara besar-besaran di bawah satu bumbung. Sehingga kini rekod pengunjung KPTN di seluruh negara telah mencatat 189 ribu pengunjung. Sekarang ini peluang pendidikan bukan sahaja daripada universiti tetapi juga daripada politeknik dan kolej komuniti bagi jurusan TVET”, katanya semasa merasmikan Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2018 peringkat negeri Terengganu di UMT yang berlangsung selama dua hari bermula 24 Mac 2018.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT, Dato’ Kamel Mohamad, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar dan wakil-wakil universiti lain seluruh negara.
“Kejayaan pendidikan tinggi negara telah mencatat pelbagai kejayaan. Antaranya kebolehpasaran pelajar telah meningkat kepada 79.1% sejak 5 tahun yang lalu. Ini adalah hasil rekabentuk pendidikan tinggi (redesigning) ke arah IR4.0,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam majlis itu juga turut menyaksikan pemeteraian MoU/MoA antara UMT dengan Kuantan Port Consortium, Ranaco Education & Training Institute dan TDM Plantation Sdn Bhd. Ini mengukuhkan lagi hubungan universiti dan industri melalui konsep 2u2i seperti yang telah dilaksanakan oleh UMT dengan Salihin Chartered Accountant.