UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Islam Menghargai Wanita

Dalam Islam, hak-hak dan penghargaan kepada golongan wanita telah diperkenalkan seawal kemunculan Islam lagi. Sebagai contohnya, kaum suami diperintahkan supaya melayani isteri dengan sebaik-baiknya. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 19 yang bermaksud, “Dan bergaullah dengan mereka secara baik, kemudian jika kamu bencikan mereka, kerana mungkin kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang baik untuk kamu.”

Rasulullah SAW telah memberi contoh yang sangat jelas dalam memberi layanan istimewa kepada isteri dengan sabdanya yang bermaksud, “Yang terbaik di kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang terbaik di antara kamu dalam melayani isteri.” (HR Tirmizi)

Allah SWT mengingatkan kaum muslimin supaya mendampingi kaum wanita dengan melaksanakan prinsip amru makruf dan nahi mungkar seawal turunnya ayat 71 surah At-Taubah melalui firmanNya yang bermaksud, “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain. Mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Sementara itu, di dalam khutbah wada’, Rasulullah SAW menekankan supaya diberi kecaknaan kepada kebajikan wanita dengan sabdanya yang bermaksud, “hendaklah kamu menjaga hak wanita dengan sebaik-baiknya.”

Islam menggariskan beberapa tanggungjawab, adab dan panduan terhadap wanita. Sebagai seorang muslim, kita mesti menghormati dan menghargai kaum wanita, di antara lain, seperti berikut :-

Pertama : Menjadi pembimbing, mursyid, dan pembela kepada mereka. Mereka perlu diberi perlindungan kerana mereka lebih mudah terdedah kepada fitnah.

Kedua : Mendidik dan memastikan mereka mempunyai moral yang tinggi dan akhlak yang mulia dengan bimbingan penuh kelembutan dan menanganinya dengan kaedah-kaedah tertentu, jika terdapat tanda-tanda mereka menyimpang daripada jalan yang benar.

Ketiga : Jika wanita itu seorang ibu, maka wajiblah dilayan dengan penuh ihsan, mematuhi kehendaknya, melembutkan tutur bicara dan tidak sama sekali mengguriskan hatinya dengan kata-kata kasar.

Keempat : Jika wanita itu sebagai seorang isteri, maka ia adalah amanah Allah kepada suami. Islam meletakkan beberapa tanggungjawab yang wajib dipenuhi. Isteri bukan milik mutlak suami yang boleh dibuat sesuka hati, diabaikan apabila tidak diperlukan lagi atau didera sama ada fizikal atau emosi. Ingatlah, penilaian kekuatan seseorang suami itu terletak bagaimana dia melayani isterinya. Sabda Rasulullah SAW dalam khutbah wada’ yang bermaksud, “Bertakwalah kamu kepada Allah dalam menghadapi kaum wanita. Sesungguhnya kamu mengahwini mereka dengan amanah Allah dan kamu dihalalkan mendampingi mereka dengan kalimah Allah.” (HR Muslim)

Kelima : Jika wanita itu seorang janda, balu atau ibu tunggal, berilah simpati, penghormatan dan bantuan, bukan sebagai bahan bualan, bergosip atau memberi pandangan serong. Nabi SAW mengangkat darjat orang yang membantu wanita malang itu setaraf dengan mujahid fisabilillah dan ahli ibadah.

Keenam : Jika wanita itu anak perempuan, didiklah mereka dengan asas-asas Islam meliputi akidah, syariat dan akhlak. Hargailah anak-anak perempuan dengan memastikan mereka berpelajaran, menjadi wanita solehah, bermaruah dan berpegang tegung serta mematuhi syarak dalam setiap bidang kehidupan.

Akhirnya, menghargai wanita bererti mempertahankan hak-hak mereka seperti yang digariskan Islam dan tidak sesekali memperalatkan wanita bagi tujuan memenuhi agenda peribadi seperti yang banyak diamalkan di negara-negara barat.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 26 Januari 2018]