UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Membudayakan Kerja Berintegriti

KUALA NERUS, 30 Jan. – Mutakhir ini banyak isu yang timbul melibatkan integriti terutamanya dalam kalangan penjawat awam. Isu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, penyelewengan walaupun dilakukan oleh segelintir individu penjawat awam namun tempiasnya tetap terkena kepada keseluruhan penjawat awam yang berada di negara ini. Bak kata peribahasa, “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Oleh itu, setiap penjawat awam perlu sentiasa membudayakan kerja berintegriti semasa melaksanakan tugas pada setiap hari agar persepsi dan tanggapan negatif mengenai isu seumpama ini dapat dibendung.

Menyedari akan kepentingan membudayakan kerja berintegriti di kalangan staf, Canselori UMT telah menganjurkan program ‘Open Mic Canselori’ pada hari ini dengan tajuk ‘Budaya Kerja Berintegriti’ yang disampaikan oleh Mohd Juhari Ab Kadir, Pegawai Integriti UMT. Program ini diadakan di Dewan Jamuan Senat UMT dan dihadiri oleh semua staf Canselori UMT.

“Integriti amat berkait dengan keutuhan dalam diri. Membuat sesuatu perkara dengan betul walaupun tiada sesiapa yang melihat. Jika hilang integriti di kalangan staf, maka hilanglah maruah sesuatu organisasi. Kebanyakan kes integriti yang berlaku di kalangan staf adalah hilang atau ‘mencuri tulang’ di tempat bertugas dan ini akan menyebabkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan”, kata Mohd Juhari.

“Jika wujud kes pelanggaran disiplin dan integriti, ia perlu dilaporkan kepada Unit Integriti untuk tindakan susulan. Setiap pelapor akan dilindungi melalui Akta Pelindungan Pemberi Maklumat 2010. Oleh itu, jangan takut untuk membuat laporan”, katanya lagi.

“Setiap staf adalah diingatkan agar tidak menyalahguna kemudahan dan peralatan pejabat untuk kepentingan peribadi. Sentiasa membuat tuntutan kewangan yang betul dan tidak meminta sebarang bentuk suapan atau hadiah. Sentiasa amalkan gaya hidup berintegriti dan carilah sumber pendapatan yang halal dan berkat,” katanya sebelum mengakhiri syarahan.