UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Bersama Membasmi Kemungkaran

amar-makruf

Sesungguhnya seluruh ajaran Islam adalah kebaikan dan keberkatan. Islam menyuruh setiap umatnya melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Setiap perintah agama Islam pasti mengandungi kebaikan dan sebaliknya setiap larangannya, pasti mengandungi kerugian dan keburukan. Di sebalik perintah melakukan kebaikan dan larangan melakukan kemungkaran, pasti membuahkan keamanan, kedamaian dan ketenteraman dalam kehidupan umat manusia. Oleh itu, setiap umat Islam diberi tugasan dan tanggungjawab dalam melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Membasmi kemungkaran adalah suatu tugasan yang berat dan tidak mungkin dapat dilaksanakan oleh sebarangan orang melainkan mereka yang mempunyai kekuatan iman dan keberanian. Berani berkata benar dan menegur mana yang salah. Sesungguhnya mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah sebabnya agama ini ditegakkan. Atas dasar mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran inilah, Allah s.w.t. menjadikan umat ini sebagai sebaik-baik umat sebagaiman firman Allah dalam surah Al-Imran, ayat 110. Dalam ayat tersebut, Allah s.w.t. menyatakan bahawa orang yang berjaya adalah mereka yang menyeru dan mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Adapun, orang-orang yang tidak menyuruh kepada kebaikan dan tidak melarang kemungkaran, maka mereka adalah orang-orang yang rugi dan gagal dalam kehidupan ini. Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Maidah ayat 78-79, yang bermaksud, “Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibn Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.”

Rasulullah s.a.w. telah membacakan ayat ini di hadapan para sahabatnya, dan baginda kemudiannya bersabda yang bermaksud, “Demi zat yang jiwa aku berada di tanganNya, hendaklah kamu sekalian menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran, menarik tangan orang-orang yang bersalah dan mengembalikannya kepada kebenaran dengan sebenar-benarnya, atau Allah akan memisahkan hati sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain, kemudain Allah melaknati kamu sebagaimana Allah telah melaknati mereka iaitu Bani Israel melalui lidah Nabi Daud dan Isa ibn Maryam.”

Sesungguhnya menyuruh kepada kebaikan dan membasmi kemungkaran adalah suatu yang sangat terpuji dan ia merupakan rahsiah penerusan umat ini. Apabila kita tidak mengambil berat soal amar makruf dan nahi mungkar, maka kita semua akan menjadi umat yang lemah. Kita boleh lihat sikap sesetengah remaja Islam yang masih mendedahkan aurat, berpelukan di atas motosikal antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, perbuatan khalwat, berzina, minum arak, berjudi dan memenuhi pusat-pusat hiburan yang melalaikan.

Walaupun peruntukan undang-undang telah ada untuk menghukum mereka yang melakukan kesalahan seperti Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, namun kadar hukuman yang dikenakan sangat rendah dan tidak menggerunkan mereka. Baru-baru ini telah ada usaha untuk menaikkan kadar denda dan hukuman kepada pesalah-pesalah kesalahan syariah, dan kita mengharapkan agar usaha yang murni ini akan mendapat sokongan oleh semua orang Islam.

Oleh itu, berdasarkan kepada masalah gejala sosial dan kemungkaran yang masih berlaku dalam negeri kita ini, maka undang-undang yang lebih tegas perlu diadakan dengan menaikkan kadar hukuman. Semoga dengan cara ini, mampu mencegah umat Islam daripada terjerumus ke lembah maksiat yang boleh merosakkan keturunan, akal, agama, nyawa dan harta benda yang merupakan 5 perkara asas tujuan prinsip perundangan Islam dilaksanakan. Selaras perkembangan zaman dan situasi masyarakat Islam, sudah tiba masanya transformasi perundangan syariah dilakukan dengan mengkaji semula dan mempraktikkan kadar hukuman bagi pesalah syariah.

Akhirnya, marilah kita semua bersama-sama melaksanakan tugasan dan amanah Allah untuk sentiasa melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Marilah kita merebut setiap peluang dan ruang yang ada untuk saling pesan-memesan, saling memberi nasihat, saling memberi teguran, saling melakukan kebaikan dan saling meninggikan agama Islam dalam diri kita, dalam keluarga kita, dalam masyarakat kita dan dalam negara kita. Mudah-mudahan setiap usaha, cita-cita dan istiqamah yang kita lakukan ini, negeri kita akan bertambah makmur, aman dan sejahtera.

[Petikan khutbah Jumaat Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 4 November 2016]