Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Ibadah korban merupakan salah satu daripada syiar-syiar Islam yang perlu dihidupkan oleh setiap umat Islam. Tambahan pula, korban merupakan sunat kifayah yang mana apabila salah seorang daripada ahli keluarga melaksanakannya maka kesemua keluarga tersebut mendapat pahala sunat korban. Untuk itu, di sana terdapat beberapa buah hadith yang menceritakan akan kelebihan berkorban ini. Antaranya:
- Daripada Imran RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَا فَاطِمَةُ قَوْمِي فَاشْهَدَيِ أُضْحِيَّتَكِ، فَإِنَّهُ يُغْفَرُ لَكِ بِكُلِّ قَطْرَةٍ مِنْ دَمِهَا كُلُّ ذَنْبٍ عَمِلْتِيهِ، وَقُولِي: إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ، فَقَالَ عِمْرَانُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَكَ وَلِأَهْلِ بَيْتِكَ خَاصَّةً، فَأَهْلُ ذَلِكَ أَنْتُمْ، أَمْ لِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ: بَلْ لِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً
Maksudnya: “Wahai Fatimah, bangunlah dan lihatlah korbanmu. Sesungguhnya ia mengampunkanmu kerana setiap titis daripada darahnya mewakili setiap dosa yang telah kamu lakukan. Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal (berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).” Maka telah berkata Imran: “Wahai Rasulullah, ini khusus hanya untuk kamu dan ahli keluarga kamu, kerana ahli dalam perkara ini adalah kamu (keluarga Rasulullah SAW) atau ia untuk umat Islam keseluruhannya?.” Rasulullah SAW menjawab: “Bahkan, ia untuk umat Islam keseluruhannya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Awsath (2509)][Hadith ini dihukum dhaif oleh Ibn Mulaqqin]
Makna Hadith
Berdasarkan hadith di atas, kita dapat memahami bahawa antara kelebihan orang yang melaksanakan ibadah korban adalah dosanya akan diampunkan oleh Allah SWT sehingga diumpamakan dosa dengan setiap titis darah yang keluar daripada binatang korban tersebut. Di samping itu juga, hadith ini memberi isyarat bahawa sunat bagi seseorang yang melakukan korban untuk melihat sembelihannya. Akan tetapi, jika dia mampu untuk menyembelihnya dengan sendiri itu adalah lebih baik kerana terdapat hadith yang mengisyaratkan sedemikian sebagaimana hadith di atas dan ia juga diriwayatkan oleh Abi Said al-Khudri.
Hikmah
Sebagaimana tazkirah daripada Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang melalui radio ManisFM pada 23 Julai 2018 jam 7.30 pagi telah berkongsi beberapa nasihat antaranya:
- Usah bertengkar mengenai ibadah korban luar negara yang dilakukan oleh sesetengah kumpulan terutamanya di Palestin atau negara-negara jiran seperti Myanmar dan sebagainya. Seolah-olah usaha tersebut menyisihkan golongan miskin di dalam negara. Semua pihak mempunyai pendapat masing-masing dan ibadah korban ini dinilai oleh Allah melalui ketaqwaan kita.
- Ambil kesempatan ibadah korban ini untuk menyembelih ego kita. Nasihat ini ditujukan kepada golongan berada yang hanya membayar wang namun tidak turun padang mengambil bahagian dalam aktiviti korban. Sebagaimana hadis di atas yang menyatakan sunat untuk melihat titisan darah korban, marilah juga sama-sama kita mengeratkan hubungan dan membantu mengagihkan bahagian korban supaya setiap hikmah ibadah ini dapat kita perolehi seperti ikhlas, sabar, bersyukur, belas kasihan dan tolong menolong.
- Bagi yang berkemampuan dalam melaksanakan syiar yang dituntut ini, usahlah bermegah dengan berapa banyak bahagian yang kita korbankan. Cukuplah hanya kita dan Allah yang mengetahuinya agar ia tidak menjadi fitnah dan dibimbangi menghampiri sifat ujub dan riak.
Kesimpulan
Jangan dilupa bahawa setiap ibadah datang bersama ilmu. Setiap orang yang ingin melakukan ibadah ini perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu dan batas-batas yang telah digariskan oleh agama seperti umur binatang, bahagian yang ditetapkan atas jenis korban dan larangan terhadap daging korban. Ikhlaskan diri kita dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dalam melaksanakan ibadah ini. Semoga Allah menerima korban yang dilakukan dan melimpahkan rezeki yang tidak putus-putus di atas pelaksanaan ibadah fardhu kifayah ini.
Sumber rujukan:
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-212: Kelebihan Korban Pada Hari Raya Aidiladha, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
- http://www.mufti.gov.bn