Pada setiap tahun, apabila menjelang musim haji yang bermula pada awal bulan Syawal sehingga tibanya hari kesepuluh bulan Zulhijjah, sebahagian daripada umat Islam di seluruh pelusuk dunia akan mengunjungi tanah suci Mekah al-Mukaramah untuk menunaikan fardu haji. Mereka adalah manusia pilihan Allah bagi mengunjungi rumah dan menjadi tetamu Allah yang sangat diperkenankan permintaan mereka. Bagi merealisasikan iman kepada Allah serta perpaduan umat di bawah panji-panji tauhid kepada Allah SWT.
Allah mewajibkan ke atas setiap orang Islam yang berkemampuan untuk mengunjungi Baitullah al-Haram sekali seumur hidup bagi menunaikan ibadah haji. Firman Allah SWT dalam surah Al-Imran ayat 97 yang bermaksud, “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah al-Haram iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah maha kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” Dan firman-Nya lagi dalam surah Al-Baqarah, ayat 192 yang bermaksud, “Dan sempurnakan ibadah haji dan umrah kerana Allah.”
Kedua-dua ayat tersebut menunjukkan bahawa ibadah haji adalah ibadah yang penting. Ia merupakan ibadah yang agung, yang memerlukan banyak pengorbanan harta benda, jiwa raga dan berpisah dengan keluarga yang dikasihi, ketika hidup menunaikannya. Oleh itu bagi sesiapa yang mencukupi syarat wajib, hendaklah bersegera merancang untuk menunaikannya tanpa menangguh-nangguhkan. Rebutlah peluang yang ada sebelum ia luput, kerana anda tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Bersegeralah menunaikan haji (iaitu haji fardu) kerana kamu tidak mengetahui apa yang akan menimpa diri kamu.” (HR Imam Ahmad)
Setiap jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci hendaklah membuat persiapan secukupnya, agar dapat melaksanakan ibadah haji dengan betul dan sempurna. Antara persiapan yang perlu dilakukan adalah –
Pertama : setiap jemaah haji perlu melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan munasik atau cara-cara mengerjakan haji daripada rukun, syarat, wajib dan sunat haji, serta pantang larang sepanjang masa mengerjakan ibadah haji, supaya hajinya menjadi haji mabrur, inshaa Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dari satu umrah ke satu umrah itu akan menghapuskan dosa di antara kedua-duanya dan haji mabrur itu tidak ada balasannya kecuali syurga.” (HR Bukhari dan Muslim)
Kedua : setiap jemaah haji wajib menyediakan bekalan atau perbelanjaan secukupnya untuk diri sendiri sepanjang tempoh mengerjakan haji dan juga untuk keluarga di bawah tanggungan yang ditinggalkan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 198 yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepada Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”
Ketiga : selesaikan terlebih dahulu hutang yang perlu disegerakan pembayarannya, kerana haram pergi mengerjakan haji tanpa keizinan tuan punya hutang yang perlu disegerakan pembayarannya. Selain dari itu pastikan bekalan dan perbelanjaan yang digunakan untuk menunaikan ibadah haji itu betul-betul bersih dan halal, supaya ianya diterima oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesunggunya Allah itu baik, Dia tidak akan menerima kecuali yang baik.” (HR Imam Ahmad)
Keempat : setiap jemaah haji perlu menjaga kesihatan tubuh badan sebelum dan semasa mengerjakan ibadah haji, agar dapat melaksanakannya dengan sempurna. Sebelum berangkat ke tanah suci perlu membuat pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh, untuk mengesan penyakit lebih awal (jika ada) supaya mudah disediakan rawatan, baik melakukan senaman dan latihan berjalan kaki, serta menjaga makan minum dengan betul, tidak mendedahkan diri kepada situasi yang boleh memudharatkan diri atau menjejaskan kesihatan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jangan melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan mudharat kepada diri dan juga kepada orang lain.” (HR Ibnu Majah)
Kelima : setiap jemaah haji perlu mengawal emosi, dan bersabar menghadapi segala cabaran, dugaan dan ujian Allah serta menerimanya dengan hati terbuka dan berlapang dada, demi mendapat ganjaran yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud, “Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah lalu tidak melakukan perkara-perkara keji dan tidak berbuat fasik, nescaya dia kembali suci daripada dosa seperti hari yang dia dilahirkan oleh ibunya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Keenam : setiap jemaah haji perlu membersihkan hati dengan membetulkan niat semata-mata ikhlas kerana Allah dalam semua urusan, berbaik sangka terhadap orang lain, menghindarkan diri dari segala sifat mazmumah seperti sombong, ujub, riak, takabur, hasad dengki dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Bayinah, ayat 5 yang bermaksud, “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”
Kesimpulannya, bagi mereka yang bakal menjadi tetamu Allah, selain daripada mengerjakan ibadah haji, gunakanlah peluang yang dianugerahkan oleh Allah ini sepenuhnya untuk memperbanyakkan ibadah yang lain, seperti melakukan solat berjemaah di Masjid Nabawi dan di Masjidil Haram, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan sebagainya. Ini kerana kesempatan ini mungkin datang hanya sekali dalam sepanjang hayat kita. Suka diingatkan bahawa setiap ibadah yang dilakukan hendaklah berlandaskan ilmu pengetahuan yang telah dipelajari, bukan berdasarkan ikut-ikutan. Oleh itu jika ada kekeliruan sila bertanya kepada pakar-pakar rujuk yang telah disediakan oleh pihak penganjur seperti Tabung Haji atau seumpamanya. Marilah kita semua berdoa agar semua jemaah akan mendapat haji mabrur.
[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 20 Julai 2018]