Islam amat menitikberatkan tentang usia remaja. Lantaran itu, terdapat banyak kisah yang dirakamkan di dalam Al-Quran untuk menggambarkan tentang usia muda sangat berharga dalam pembinaan khaira ummah. Di antara kisah yang masyhur ialah Ashabul Kahfi yang ditampilkan dalam surah Al-Kahfi, ayat 13 yang bermaksud, “Kami ceritakan kepada kamu wahai Muhammad perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”
Menerusi ayat tersebut, Allah telah menggambarkan kepada kita tentang kewujudan generasi muda yang beriman kepada Allah dan berjuang untuk mempertahankan akidah mereka. Ekoran daripada kemantapan iman tersebut, Allah telah menambahkan kepada mereka petunjuk atau jalan keluar bagi setiap masalah yang dihadapi. Mereka berjaya menyembunyikan diri ke dalam gua, bagi mengelakkan ancaman daripada penguasa yang zalim pada waktu itu. Itulah secebis kisah generasi muda yang cekal berani sehinggakan Allah telah merakamkannya dalam Al-Quran sebagai renungan buat generasi kini.
Begitu juga apabila kita meninjau tentang sirah Rasulullah SAW yang sangat rapat dengan generasi muda. Baginda amat berkeyakinan kepada golongan muda, bakal memimpin zaman, justeru itulah, Baginda telah melantik Usamah bin Zaid yang baru berusia 18 tahun ketika itu, untuk memimpin angkatan tentera sewaktu dakwah ke wilayah-wilayah Islam di Romawi.
Begitu juga Baginda telah mengamanahkan kepada Saidina Ali yang ketika itu berusia 23 tahun, untuk menyerahkan kembali harta yang telah disimpan oleh orang Quraisy kepada Rasulullah SAW semasa peristiwa hijrah.
Dari sudut galakan beribadah pula, Baginda telah menyatakan terdapat dalam kalangan pemuda yang dijanjikan lindungan Allah sewaktu berada di padang mahsyar. Perkara ini dinyatakan dalam sebuah hadis tentang 7 golongan yang akan diberikan naungan Allah, salah satu daripadanya ialah pemuda yang membesar dengan sentiasa beribadah kepada Allah.
Berdasarkan kisah Al-Quran dan hadis tersebut, jelas menunjukkan bahawa Islam amat mengambil berat tentang pembentukan jati diri generasi muda. Ini adalah kerana mereka bakal menjadi pemimpin masyarakat suatu hari nanti.
Namun begitu, berbeza dengan situasi generasi muda masa kini. Ramai dalam kalangan mereka yang meminggirkan aspek masa depa dan hala tuju kehidupan. Menurut data indeks jenayah juvana yang diterima pada tahun 2015, daripada 4,569 kes kesalahan jenayah, 90.87% merupakan kes yang pertama kali dilakukan.
Hasil dapatan ini menunjukkan, terdapat kecenderungan yang tinggi dalam kalangan remaja untuk berjinak-jinak dalam melakukan jenayah, meskipun pelbagai kaedah pendidikan akhlak dan moral diajar di sekolah mahupun di rumah. Setelah dibuat kajian dan penelitian, ajaran secara suruhan semata-mata tidak mampu membuahkan hasil yang baik kepada mereka. Sebaliknya, ajaran mestilah disertai dengan perilaku positif yang perlu dipamerkan oleh golongan dewasa.
Sewajarnya, kita meneliti pesanan Luqman Al-Hakim yang ditujukan kepada anaknya, sebagai asas utama dalam proses pemantapan akidah dan pembetulan akhlak kepada generasi muda. Di dalam surah Luqman, terdapat beberapa pesanan yang amat berguna kepada generasi muda dalam usaha untuk melahirkan khairu ummah. Pesanan yang dimaksudkan tersebut ialah :-
Pertama : sentiasa mensyukuri rahmat Allah SWT. Ketahuilah wahai generasi muda, bahawa faedah daripada bersyukur, akan dinikmati oleh anda sendiri pada kemudian hari. Bahkan, Allah menggandakan nikmatNya, jika kita sering bersyukur atas segala rahmatNya.
Kedua : jangan melakukan syirik kepada Allah. Kesalahan syirik bukan sahaja berlaku kepada golongan kafir, namun turut berlaku dalam kalangan umat Islam tanpa kita sedari. Hal ini berlaku apabila terdapat keyakinan terhadap kuasa makhluk seperti tangkal azimat yang dianggap mampu merubah ketentuan Allah.
Ketiga : Allah Maha Mengetahui akan semua perbuatan hambaNya. Ketahuilah bahawa setiap tindakan dan tingkahlaku kita diketahui oleh Allah. Oleh sebab itu, lakukanlah amalan yang membawa kesejahteraan dunia, kerana perhitungan amalan yang sebenar adalah di hari akhirat.
Keempat : laksanakanlah solat sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dan suburkan sifat sabar dalam setiap cabaran dan dugaan yang dihadapi. Dalam pada itu, serulah kepada orang ramai agar melakukan kebaikan serta menghindari amalan kemaksiatan.
Kelima : Bersederhana dalam semua tindakan dan jangan pula berlagak sombong. Sewajarnya kita merasa kerdil apabila berada di bumi Allah. Kesemua makhluk merasai kekerdilan tersebut sehingga mereka patuh dan tunduk dengan perintah Allah. Namun, nafsu manusia masih lagi angkuh, sehingga ada yang berani engkar dengan perintah Allah.
Keenam : Sentiasa bertaubat kepada Allah dan menuruti langkah-langkah golongan yang insaf dan kembali ke pangkal jalan. Gesaan ini jelas digambarkan oleh Allah dalam surah Luqman ayat 15 yang bermaksud, “Turutilah jalan orang-orang yang bertaubat kepadaku dengan tauhid dan amal-amal yang soleh. Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”
Sebagai kesimpulan khutbah pada hari ini, generasi muda perlu diberi pendedahan kepada nilai-nilai murni menerusi tingkahlaku golongan dewasa. Oleh itu, golongan dewasa perlu berani merubah sikap negatif yang ada pada mereka, demi untuk memastikan golongan muda mampu mengorak langkah ke masa hadapan, menyahut saranan khairu ummah. Sebagai contohnya, golongan dewasa perlu berani berhenti merokok, sekiranya mahu melihat anak-anak mereka bebas daripada ketagihan merokok. Golongan dewasa juga perlu berani menghormati guru-guru, jika mahu melihat generasi penerus zaman berakhlak mulia dan hidup dengan bermaruah. Yakinlah apa yang kita semai dan siram pada hari ini, hasilnya akan dinikmati pada masa yang akan datang.
[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 2 Februari 2018]