UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Pengurusan Kewangan Berhemah

akauntan2

Islam adalah agama yang mengatur segala kehidupan umatnya yang merangkumi pelbagai aspek, antaranya ialah dari sudut ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. Hal ini adalah bersesuaian dengan asas-asas yang menyentuh persoalan untuk mengurus kehidupan, agar ianya lebih sempurna, teratur dan sesuai dengan keperluan semasa. Agama Islam telah menetapkan beberapa peringkat keperluan bagi umatnya iaitu :-

  1. Al-Dharuriat iaitu keperluan yang mendesak
  2. Al-Hajiaat iaitu keperluan yang dihajati
  3. Al-Thasiniat iaitu keperluan yang lebih baik
  4. Al-Kamaliat iaitu keperluan yang lebih lengkap

Namun begitu, dalam mengurus kehidupan, Islam mewajibkan kita mengatus perbelanjaan kepada perkara-perkara yang asas dan keperluan yang benar-benar mendesak iaitu Al-Dharuriat. Menurut Imam Syatibi, Al-Dharuriat adalah sesuatu yang harus dilakukan agar mendapat kemaslahatan di dunia dan di akhirat. Jika Al-Dharuriat ini tidak dilaksanakan, maka kemaslahatan itupun tidak akan ada tetapi yang akan timbul adalah kerosakan, kesengsaraan dan kerugian yang besar.

Sebagai seorang Islam tentunya kita menyedari bahawa dalam menjalani kehidupan ini Allah s.w.t. telah mengurniakan berbagai-bagai nikmat yang tidak terhitung banyaknnya sama ada dalam bentuk keamanan, kesejahteraan, kesihatan, kebahagiaan, kekayaan, umur yang panjang dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nahl, ayat 18 yang bermaksud, “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tiadalah kamu dapat menghitungnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Namun begitu, kadang-kala dengan nikmat yang melimpah ini, menyebabkan seseorang itu mudah lupa diri dan lalai bahawa nikmat itu amanah dan ujian dari Allah s.w.t. kepada hamba-hambaNya. Sebagai umat Islam, kita dituntut agar mensyukuri segala pemberian dari Allah s.w.t. Kita hendaklah menguruskan segala perbelanjaan untuk keperluan hidup dengan sebaik-baiknya setiap masa, sama ada di waktu senang, lebih-lebih lagi di waktu susah. Sekiranya kita mengabaikan perkara tersebut, dikhuatiri kesan daripada kelalaian kita menguruskan perbelanjaan, menyebabkan kita mewariskan generasi akan datang dengan kehidupan yang sukar.

Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya berbelanja, tetapi agama Islam mendidik umatnya dengan kaedah berbelanja secara berhemah iaitu dengan memberikan keutamaan dan mendahulukan perkara-perkara yang penting sahaja. Perlu kita fahami bahawa budaya hidup berhemah berkait-rapat dengan sifat berjimat-cermat dan tidak membazir. Islam melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana ianya termasuk dalam perbuatan keji. Islam menyifatkan perbelanjaan boros dan pembaziran adalah perbuatan keji kerana ia tidak memberi faedha kepada masyarakat dan menjauhkan lagi jurang antara golongan kaya dan miskin. Jika dasar berhemah ini diambilkira, maka hak-hak serta kebajikan orang-orang fakir dan miskin dapat ditunaikan sepanjang masa.

Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan berbelanja mengikut kehendak nafsu. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Israk, ayat 27 yang bermaksud, ” Sesungguhnya orang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” Nikmat kekayaan dan kesenangan tidak akan tercapai melainkan harta tersebut diuruskan dengan baik dan mengikut piawaian pematuhan syariah. Islam sebagai satu cara hidup telah menggariskan panduan pengurusan kewangan agar maqasid syariah tercapai iaitu menjaga dan memelihara harta. Semua ini adalah dengan satu tujuan iaitu mengharapkan keredhaan serta rahmat Allah di dunia dan akhirat.

Islam sememangnya meletakkan kepentingan untuk menjaga dan menguruskan kewangan dengan baik. Islam menggalakkan umatnya untuk menghasil, mengimbang dan menggunakan harta dengan bijaksana. Malah, melalui harta yang dikurniakan kepada manusia, akan menjadi medan ujian kepada mereka sama ada terus merasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan, ataupun berada di dalam kufur serta bongkak dengan kemewahan dunia yang sementara. Harta jugalah yang akan menjadi wasilah atau jambatan kepada takwa kepada Allah s.w.t. Berpandukan kepada kewajipan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. seperti zakat, nafkah, sedekah dan sebagainya, manusia dapat menjadikan harta itu wasilah kepada keberkatan dan kerahmatan dari Allah.

Justeru, pengurusan kewangan secara berhemah dan sederhana dapatlah digariskan seperti berikut :-

  1. Menetapkan matlamat dalam kewangan. Penetapan matlamat kewangan akan mewujudkan aliran kewangan yang teratur dan tersusun tanpa sebarang gangguan terhadap sumber kewangan yang sedia ada. Hal ini akan mengelakkan dari berlakunya pembaziran, seterusnya mengawal-selia perbelanjaan agar tidak berlebihan dan berbelanja untuk perkara yang tidak perlu.
  2. Meningkatkan ilmu pengurusan kewangan. Melalui agensi kerajaan dan swasta, terdapat pelbagai bentuk maklumat dapat diperolehi. Malah agensi-agensi tersebut juga menyediakan seminar dan kursus pengurusan kewangan dan hutang dalam usaha memberikan pendidikan kepada seluruh masyarakat. Antara agensi tersebut ialah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang dapat membantu kita untuk menguruskan kewangan secara berhemah. Elakkan perasaan malu atau segan untuk mempelajari ilmu berkaitan kerana ianya sangat memberi manfaat kepada kita semua.
  3. Pengurusan hutang dengan bijaksana. Jika berhutang, berikhtiarlah untuk melunaskan segala hutang dalam tempoh yang ditentukan dan tidak menambahkan beban kewangan dengan hutang baru yang tidak mendesak. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesiapa yang berhutang dengan manusia serta berniat membayarnya, Allah memudahkannya, dan sesiapan berhutang dengan niat enggan membayarnya, Allah taala akan membinasakannya.”

Oleh itu, seluruh umat Islam adalah diminta menghargai dan mensyukuri nikmat harta pemberian Allah dengan mengurus dan merancang kewangan secara betul, adil dan berhemah. Umat Islam juga perlu meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan serta mendidik diri, keluarga dan masyarakat mengenai kepentingan pendidikan pengurusan kewangan. Selain itu, kita juga disarankan untuk bersederhana dalam berbelanja dan mengurus kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip syariah, mengambilkira keutamaan dan kemampuan bukan kemahuan.

[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 18 November 2016]