UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Betul dan Rapatkan Saf Dalam Solat

betulkan-saf

Mutakhir ini, pelbagai program dan aktiviti yang disusun oleh jawatankuasa masjid untuk menarik lebih ramai lagi ahli qariah untuk bersama-sama melaksanakan pengimarahan masjid. Alhamdulillah, kita dapati semakin ramai muslimin hadir ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah, bukan sahaja warga yang sudah berusia tetapi juga di kalangan generasi muda dan belia.

Namun, yang merisaukan kita apabila ada yang hadir ke masjid untuk menunaikan solat dalam keadaan kurang ilmu, yang bukan sahaja menimbulkan masalah kepada dirinya tetapi juga kepada jemaah yang lain. Sebagai contoh, berlengah-lengah untuk masuk dalam saf pertama dan tidak merapatkan atau meluruskan saf ketika solat. Atau ada yang bergegas meninggalkan saf dengan melintas di hadapan orang yang sedang solat. Sikap sebegini menunjukkan sebahagian kaum muslimin masih beranggapan bahawa urusan merapatkan saf dan meluruskan saf adalah suatu perkara yang remeh. Oleh itu, setiap umat Islam perlu mengambil perhatian dalam perkara ini, kerana kesempurnaan ibadah solat yang kita lakukan semestinya perlu berlandaskan kepada ilmu dan pengetahuan.

Merapatkan saf merupakan suatu perkara yang penting dalam solat. Ia seringkali diabaikan oleh kaum muslimin ketika solat berjemaah. Banyak hadis yang menekankan kepentingan merapatkan saf ketika solat. Manakala perincian susunan saf juga telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. sebagai panduan dan ikutan umat Islam ketika menunaikan ibadah solat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah yang ada di belakang ku (saf pertama bahagian tengah belakang imam) adalah kalangan orang tua. Kemudian diikuti oleh mereka yang lebih muda. Kemudian diikuti lagi oleh kalangan kanak-kanak.” (Riwayat Muslim)

Antara manfaat daripada hadis ini ialah susunan saf sesuai dengan urutan keutamaan di belakang imam. Hendaklah di belakang imam adalah orang-orang yang lebih ilmu dalam bidang agama (fekah) dan lebih bagus hafalan atau bacaan Al-Quran dibandingkan dengan yang lain. Ini adalah antara cara untuk menambahkan kesempurnaan solat kita iaitu dengan menjaga saf dalam solat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Luruskan saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan solat.” (Riwayat Muslim)

Mengikut pandangan sebahagian ulama seperti Ibnu Hajar dan sebahagian ulama hadis bahawa meluruskan saf itu hukumnya adalah wajib. Menurut Ibnu Hajar juga, sekiranya seseorang dengan sengaja tidak meluruskan saf dalam solat berjemaah, maka hukumnya adalah haram, sekalipun tidak sampai ke tahap membatalkan solat.

Ulama fekah telah bersepakat mengatakan bahawa adalah sunat bagi para jemaah untuk memenuhi saf yang pertama terlebih dahulu sehingga tidak ada ruang yang kosong atau renggang, kemudian barulah diikuti dengan saf yang kedua dan seterusnya. Ini adalah berdasarkan hadis-hadis sahih yang menerangkan mengenainya, antaranya sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sempurnakanlah oleh kamu saf yang depan (saf yang pertama), kemudian saf-saf berikutnya, maka saf yang kurang itu (disebabkan sedikit makmum) hendaklah di saf bahagian belakang.” (Riwayat Abu Daud dan Nasai)

Oleh yang demikian, adalah makruh bagi para jemaah untuk mendirikan saf yang kedua atau berikutnya melainkan selepas sempurnanya saf yang pertama atau berikutnya. Dalam erti kata yang lain, jangan dibiarkan saf yang di hadapan makmum itu kosong atau renggang begitu sahaja, bahkan dianjurkan ke atas mereka mengisinya dan merapatkannya.

Setiap makmum hendaklah merapatkan saf masing-masing berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Luruskanlah saf dan sejajarkanlah di antara bahu-bahu kamu, tutupi celah-celah dan berlaku lembutlah (waktu merapatkan saf), dan janganlah kamu biarkan celah-celah (yang kosong) itu untuk syaitan. Barangsiapa menghubungkan saf, maka Allah menghubungkannya (dengan rahmatNya) dan barangsiapa memutuskan saf, maka Allah memutuskannya (daripada rahmat dan pertolonganNya).” (Riwayat Abu Daud)

Memenuhi dan merapatkan saf bukanlah sesuatu yang susah. Namun begitu, sikap sesetengah orang amat payah untuk menggerakkan kakinya satu atau dua langkah untuk memenuhi ruang-ruang saf yang masih renggang atau kosong. Dia lebih rela membiarkannya begitu sahaja dalam keadaan renggang atau kosong, ataupun dia lebih rela menyuruh orang lain memenuhinya. Sedangkan, mengisi atau memenuhi ruang-ruang saf yang kosong atau renggang itu mempunyai kelebihan yang besar.

Sekiranya dia mengetahui kelebihan mengisi saf, nescaya dia tidak melepaskannya kepada orang lain. Apakah kelebihan atau fadhilat memenuhi ruang-ruang saf yang kosong itu? Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan para malaikatnya mendoakan ke atas orang-orang yang menghubungkan saf-saf, dan barangsiapa yang menutupi ruang-ruang yang kosong, nescaya Allah akan meninggikannya dengan satu darjat.” (Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)

Demikianlah beberapa keutamaan saf paling hadapan dan kepentingan merapatkan saf dalam solat berjemaah. Kita seakan-akan tidak ghairah untuk merebut saf pertama dan lebih selesa berada di saf yang terkebelakang. Sebaik-baiknya apabila memasuki masjid untuk solat berjemaah atau solat Jumaat, hendaklah kita memenuhi saf hadapan terlebih dahulu dan diikuti dengan saf-saf berikutnya, dan janganlah kita berlengah-lengah atau menyibukkan diri dengan urusan lain.

Beberapa kesimpulan penting yang perlu diberi perhatian berkaitan dengan saf solat ialah :-

  1. Meluruskan saf adalah sebahagian daripada kesempurnaan solat.
  2. Hendaklah meluruskan saf dalam keadaan merapatkan bahu dengan bahu, kaki dengan kaki dan tumit dengan tumit makmum yang lain, sehingga tidak ada ruang yang kosong dan renggang.
  3. Tidak digalakkan kita mendirikan saf yang kedua atau berikutnya melainkan selepas sempurnanya saf yang pertama atau berikutnya.
  4. Saf hendaklah bermula dari belakang imam, bukan dari tepi, bahagian kanan atau kiri masjid, dan begitu juga seterusnya.
  5. Saf yang lurus dan rapat dapat menjalinkan kasih sayang, dan ukhuwah di kalangan kaum muslimin.
  6. Merapatkan saf bererti menyekat syaitan daripada mengganggu orang yang sedang solat.

Semoga kesempurnaan solat yang dilaksanakan menjadikan kita lebih berbudaya positif, bersikap pro-aktif dalam kerja dan tanggungjawab serta cemerlang dalam semua urusan kehidupan.

[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 11 November 2016]