Bersempena Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 pada 22 Oktober 2023, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor UMT telah berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan Dan Pengurusan Biodiversiti kepada Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad.
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad ialah antara perintis dalam penyelidikan taksonomi tumbuhan tinggi dan biologi pemuliharaan. Beliau dilahirkan di Kampung Parang Puting, Kota Bharu, Kelantan pada Jun 1948 dan menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Parang Puting dan Sekolah Inggeris Merbau di Kota Bharu, Kelantan. Beliau melanjutkan pendidikan di Maktab Sultan Ismail seterusnya di Universiti Malaya (UM), dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dengan kepujian dalam bidang botani. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Nik Kamariah Nik Abdullah pada tahun 1973 dan telah dikurniakan dengan empat orang anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan serta sembilan orang cucu. Beliau mula meminati taksonomi tumbuhan di UM atas inspirasi dan dorongan daripada mantan pensyarah dan mentor beliau iaitu mendiang Dr. B. C. Stone.
Pada September 1974, beliau telah berangkat ke Universiti of Reading, England, bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Sains dalam Taksonomi Tumbuhan dan seterusnya memperoleh ijazah PhD dalam bidang Sistematik Tumbuhan. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff telah kembali ke Malaysia pada tahun 1978 dan menyandang jawatan sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 1983, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya dan menjadi Profesor penuh pada tahun 1991.
Sebagai seorang perintis di universiti tersebut, beliau telah ditugaskan untuk mengetuai Jabatan Botani yang baru ditubuhkan. Fakulti tersebut melihat potensinya dalam urusan pentadbiran dan tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai Timbalan Dekan di Fakulti Sains Hayat, dan kemudiannya sebagai Dekan. Apabila fakulti berasaskan sains telah disusun semula pada tahun 1999, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Sains dan Teknologi dan kemudiannya menjadi Dekan di fakulti tersebut sebelum beliau bersara.
Beliau juga pernah menjadi Pengarah Bersekutu dan Pengarah di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan atau juga dikenali sebagai Lestari. Penyelidikan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff mengenai flora, taksonomi tumbuhan dan kepelbagaian biologi Malaysia selama hampir 40 tahun telah membawa kepada kemajuan pengetahuan yang merangkumi pemahaman sains taksonomi dan biologi pemuliharaan serta kepentingan, nilai dan faedah pemuliharaan alam sekitar di Malaysia. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff juga telah mengetuai pelbagai projek mengenai taksonomi tumbuhan, etnografi dan fitokimia produk semula jadi.
Beliau turut berjaya mendapatkan dana daripada kerjasama dua hala inisiatif Malaysia-Jepun dan juga Yayasan Flora Malesiana untuk membina kapasiti sumber manusia penyelidikan botani di Malaysia. Universiti Leiden di Belanda juga meminati penyelidikannya dan beliau telah diberikan Fellowship Penyelidikan untuk Semakan Vitaceae Malesia pada tahun 1985. Dengan sokongan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Akademi Sains Malaysia, dan UKM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff telah mengetuai lebih daripada 30 ekspedisi saintifik di semua jenis hutan di seluruh Malaysia. Ekspedisi tersebut mencakupi penyelidikan terhadap persekitaran fizikal, biologi dan sosioekonomi.
Setelah selesai setiap ekspedisi saintifik, beliau telah membantu melaksanakan seminar saintifik untuk membincangkan penemuannya. Usaha penyelidikan beliau selama bertahun-tahun dibuktikan dengan penerbitan lebih daripada 746 makalah saintifik, yang mana 346 daripadanya adalah dalam jurnal tersenarai indeks SCOPUS dan WOS. Beliau juga telah menerbitkan lebih daripada 300 penerbitan ilmiah sebagai bab dalam buku dan sebagai kertas dalam prosiding. Beliau juga adalah pensyarah di peringkat sarjana dan siswazah di Fakulti Sains, UKM antara tahun 1979 hingga 2014. Usaha beliau telah membawa kepada pemindahan ilmu botani kepada lebih 235 pelajar yang kini menjadi guru dan pensyarah, pegawai penyelidik dan profesional dalam bidang sains di negara ini. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff bekerja keras tanpa mengenal lelah untuk meningkatkan kesedaran tentang ilmu botani dan pemuliharaan alam sekitar. Beliau telah dipilih sebagai ahli Kumpulan Kerja Ekosistem Bandar; Jawatankuasa Manusia dan Biosfera Malaysia; Pengerusi, Jawatankuasa Kecil Flora dan Fauna; Projek Kebudayaan Melayu dan Jawatankuasa Peristilahan Biologi Antara Universiti, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Beliau juga adalah Pemegang Amanah dan Pengerusi Lembaga WWF Malaysia dan ahli Delegasi Malaysia ke Persidangan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Sejak beberapa dekad lalu, beliau turut memberi nasihat kepada pelbagai pengurusan taman di negara ini seperti Taman Negeri Perlis, Taman Negeri Gunung Stong di Kelantan, Taman Negeri Royal Belum di Perak, dan Yayasan Sabah. Kepakaran Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff juga diminati oleh organisasi serantau dan antarabangsa. Beliau telah menjadi Ahli Majlis Eksekutif untuk Rangkaian Asia untuk Sains Biologi, Ahli Jawatankuasa Saintifik untuk Sains Biologi, Ahli Jawantankuasa Saintifik untuk Botani, Persatuan Sains Pasifik dan juga Jawatankuasa Pemandu Pelbagai Hala bagi Sumber Tumbuhan Asia Tenggara (PROSEA). Melalui pelantikan ini, beliau telah dapat mempercepatkan agenda alam sekitar untuk para pembuat keputusan atau dasar supaya dapat memastikan kelestarian alam sekitar dapat dilaksanakan.
Sepanjang 40 tahun dalam penyelidikan, beliau telah merekodkan satu genus tumbuhan baharu iaitu Nothocissus; 18 spesies tumbuhan baharu dalam rekod sains, termasuk Rafflesia azlanii, Rafflesia tengku-adlinii, Dendrobium terengganuensis, Cissus terengganuensis Cissus sumatrana, dan banyak rekod baharu untuk Flora Malaysia seperti Vatica sarawakensis, Madhuca palembanica, Cissus aristolochiodes. Selain itu, sebanyak tujuh tumbuhan dan dua haiwan dalam rekod sains turut dinamakan sempena penghormatan kepada beliau.
Usaha beliau telah membawa pemahaman yang lebih mendalam tentang taksonomi sebagai bidang yang penting untuk memahami kekayaan kepelbagaian biologi negara. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff adalah penerima Anugerah Malaysian-Toray untuk Sains dan Teknologi pada tahun 1995 untuk kajian beliau dalam taksonomi tumbuhan dan etnobotani dan kepelbagaian tumbuhan. Beliau turut menerima Anugerah Tokoh Alam daripada Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Anugerah Citra daripada UKM, kedua-duanya pada tahun 2005. Beliau juga pernah menerima Anugerah Langkawi pada tahun 2004. Pada tahun 2015, beliau telah dianugerahkan Merdeka Award atas dedikasi dan komitmen beliau dalam penyelidikan dan pemahaman tentang taksonomi tumbuhan dan biologi pemuliharaan yang melambangkan Semangat Merdeka, kecemerlangan dan sumbangannya kepada negara.
Sumber : Pejabat Komunikasi Korporat UMT