Bersempena Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 pada 22 Oktober 2023, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor UMT telah berkenan menganugerahkan ijazah kehormat Doktor Pengurusan kepada Dato’ Seri Michael Tio.
Tio Boon Yiaw dilahirkan pada 3 Disember 1968 di Klang, Selangor. Mendapat pendidikan di Sekolah Menengah La’ Salle Klang, Selangor. Pada tahun 1991, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dalam bidang Perakaunan daripada University of Hull, United Kingdom dan setahun kemudian memperoleh Sarjana dalam bidang Perakaunan Antarabangsa dan Pengurusan Kewangan daripada Reading University. Pada tahun 2008, beliau telah dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Tuanku Ja’afar (D.P.T.J) oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Pada tahun 2010, beliau dianugerahkan Jaksa Pendamai oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan manakala pada 2021 beliau dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N.) oleh Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak yang membawa gelaran Dato’ Seri. Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio merupakan Ketua Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn. Bhd., syarikat penyedia perkhidmatan logistik terkemuka di Malaysia. Bakat keusahawanan beliau mula terserlah semasa melanjutkan pengajian di United Kingdom dengan menceburi perdagangan import dan eksport kereta dan kemudiannya mengambil alih tampuk kepimpinan perniagaan keluarga pada tahun 1996.
Menerusi perniagaan ini, beliau melihat potensi besar di Malaysia sebagai hab logistik di ASEAN. Dengan visi besar ini, beliau mula melabur dalam kemudahan terkini, latihan kemahiran, serta memupuk hubungan rapat antara industri, kerajaan dan masyarakat melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Falsafah beliau terhadap CSR ialah “CSR bukanlah bagaimana anda membelanjakan keuntungan anda, tetapi CSR adalah bagaimana anda bertanggungjawab membuat keuntungan anda”. Antara usaha tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan PKT Logistik Sdn. Bhd., Dato’ Seri (Dr.) Micheal Tio telah menubuhkan Yayasan PKT yang menawarkan biasiswa dan dermasiswa kepada pelajar Malaysia yang berpencapaian tinggi sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam membangunkan modal insan masa depan negara. Setiap tahun, PKT Logistics Sdn. Bhd. telah memperuntukkan RM1 juta kepada Yayasan PKT dan telah menganugerahkan RM2.4 juta biasiswa kepada lebih 400 orang pelajar dalam menyokong pendidikan tinggi mereka di dalam dan luar negara.
Beliau juga telah memperkenalkan dan melaksanakan Pelan “Anak Belajar Ibu Bekerja” (ABIB) yang bertujuan memberi peluang pendidikan kepada anak dan pekerjaan kepada ibu bapa yang tinggal di kampung berhampiran dengan fasiliti PKT. Selain itu, PKT Logistik Sdn. Bhd. juga telah memperkenalkan inisiatif ‘Jom Belajar Sambil Bekerja’ (JBSB) di mana pelajar dari luar bandar akan memperoleh pendapatan tambahan di samping pengalaman yang relevan dan kehidupan sebenar dalam persekitaran kerja PKT. Manakala, inisiatif “Jom Bersara Secara Sambilan” (JBSS) pula adalah untuk memberi peluang kepada pesara untuk menyampaikan pengetahuan dan pengalaman mereka kepada tenaga kerja generasi muda sambil menjana pendapatan. Inisiatif Smart Trucker pula ialah program 48 bulan di jalan raya untuk graduan sebagai ‘pemandu lori profesional’. Pada akhir tempoh, graduan akan dinaikkan pangkat ke jawatan eksekutif/eksekutif kanan. Objektif utama program ini adalah untuk mengubah industri pengangkutan dengan mempromosikan graduan bermula sebagai pemandu lori dan seterusnya menjadi penggerak utama dalam industri.
Dalam memperkasa pendidikan tinggi negara, Dato’ Seri (Dr.) Micheal Tio telah menubuhkan Peninsula College dengan hasrat untuk membangunkan kumpulan bakat negara terutamanya dalam bidang logistik. Dengan konsep “kampus dalam industri” yang unik menggunakan konsep pembelajaran di industri, beliau telah menubuhkan “Lighthouse Campus” di Shah Alam, “City Campus” di Klang dan “The Ship Campus” di Batu Kawan sebagai pusat Pendidikan berasaskan industri logistik. Dalam memainkan peranan industri ke arah pemerkasaan pendidikan, beliau melalui PKT Logistics Sdn. Bhd. juga telah menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di dalam serta di luar negara termasuklah Universiti Malaysia Terengganu.
Hasil daripada sumbangan dan usaha ini, beliau telah secara meluas diiktiraf oleh dunia akademik dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Pengurusan Logistik daripada Universiti Utara Malaysia pada tahun 2018. Selain itu, beliau secara berterusan telah menyumbang kepakaran melalui lantikan sebagai Profesor Adjung di beberapa universiti awam seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia(USM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan juga Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Di peringkat antarabangsa pula, beliau juga telah ditawarkan menjadi Profesor Kolaboratif di Universiti Osaka, Jepun. Kepakaran beliau juga diiktiraf apabila dilantik sebagai Ahli Penasihat Industri oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Penasihat Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dan Pengerusi Majlis Penasihat Industri, Politeknik Seberang Perai. Di peringkat antarabangsa, beliau juga dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perniagaan oleh Universiti Plymouth, England pada tahun 2022 dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Gloucestershire, England. Pada tahun 2022, Dato Seri (Dr.) Micheal Tio telah dilantik sebagai Pengerusi Logistics Productivity Nexus (LPN), satu inisiatif oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Sejak 2019, Dato’ Seri (Dr.) Micheal Tio telah dilantik sebagai CEO@Faculty oleh Kementerian Pendidikan Tinggi selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
Beliau telah menyumbang lebih daripada 130 jam untuk kuliah dan ceramah di universiti-universiti awam dan swasta di Malaysia. Pada tahun 2019, beliau telah dianugerahkan Anugerah CEO Terbaik 2019 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi. Beliau juga adalah penerima pertama di dunia yang memenangi ‘Hull Laureate Award’ sebagai mengiktiraf sumbangan berterusan beliau kepada alma mater di University of Hull. Beliau juga menjadi rakyat Malaysia pertama yang bukan dalam kalangan peguam yang dilantik sebagai ahli Panel Penasihat Antarabangsa di Pusat Penyelesaian Pertikaian Australia. beliau turut diberikan penghargaan sebagai Usahawan Terbaik SOBA Tahun 2012 dan Sin Chew Business Excellence Awards Tahun 2014 atas jasa-jasa beliau selama lebih 30 tahun dalam bidang keusahawanan. Pada 2015, beliau juga dilantik sebagai Ketua Pengawai Eksekutif Malaysia Book of Records. Melalui kepimpinan beliau, PKT Logistics Group memenangi Anugerah Kelas Induk dalam Pembangunan Logistik oleh Persekutuan Rantaian & Francais ASEAN (ARFF) pada tahun 2015. Ia disusuli dengan kejayaan pusat logistik The 12 Waves memenangi Kategori Perindustrian di di FIABCI Malaysia Property Awards (MPA) pada November 2019 dan seterusnya menggondol Anugerah Perak dalam Kategori Perindustrian Anugerah FIABCI World Prix d’Excellence 2021. Kerjasama dan penglibatan Dato’ Seri Dr Michael Tio bersama UMT bermula dengan penganjuran 7th International Conference on Advanced Intelligent Maritime Safety and Technology 2021 (Ai-MAST 2021).
Kemudian pada tahun 2022, PKT Logistics Sdn. Bhd. telah bekerjasama dengan Fakulti Pengajian Maritim (FPM) dalam pelaksanaan Program 1st Annual UMT-UUM Logistics Symposium 2022 yang melibatkan pelajar UMT dan UUM di The Ship Campus, Batu Kawan, Pulau Pinang. Pada Mei 2023, UMT dan PKT Logistics Group Sdn. Bhd. telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) secara rasmi untuk bekerjasama dalam latihan pelajar dan kakitangan, penyelidikan, akademik, pemindahan pengetahuan dan perkongsian pengalaman. Majlis ini telah dilangsungkan bersempena dengan Program Pameran Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023). Seterusnya, PKT Logistik Sdn Bhd telah bekerjasama dengan UMT melalui Geran PENJANA KPT-CAP yang diterima oleh UMT melalui Fakulti Pengajian Maritim. Geran Kebolehpasaran Pelajar ini melibatkan 100 orang pelajar tahun akhir UMT yang menjalani latihan industri “Smart Logistician” 2023 dengan melibatkan pelaksanaan modul latihan berkaitan industri logistik serta penggunaan teknologi Internet of things (IOT) dalam operasi gudang PKT Logistics. Pelajar yang mengikuti program ini berpeluang untuk diserap bekerja oleh Kumpulan PKT.
Dalam aspek amalan industri lestari, Dato’ Seri (Dr.) Micheal Tio telah memulakan perjalanan amalan ini sejak transformasi PKT Logistics Sdn. Bhd. pada 2008 sebelum ESG (Environment, Social and Governance) menjadi “norma baharu”. Beliau mempunyai misi untuk menjadikan PKT sebagai peneraju dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2039 dengan pelbagai inisiatif antaranya 5 Green Action Plan (GAP) iaitu Lean before MEAN, Smart EcoWarehouse, Vehicle Electrification Programme, Replanting T(h)ree for One dan Net Positive Paper Recycling. Dato’ Seri (Dr.) Micheal Tio menggenggam erat falsafah “Dream of it, Talk about it, Plan for it, Work on it, Get it!” dalam mencapai setiap apa yang diimpikan.
Sumber : Pejabat Komunikasi Korporat UMT