Home » Sekapur Sirih Seulas Pinang

Wed Sep 20, 2017
Waktu
Subuh 5:42 am
Syuruk 6:57 am
Zohor 1:01 pm
Asar 4:09 pm
Maghrib 7:05 pm
Isyak 8:12 pm

Sekapur Sirih Seulas Pinang

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhahappy-Ramadan-2012-1-1024x640mdulillah, bulan Ramadhan menjelma lagi. Bulan yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala yang sangat dinanti-nantikan oleh hamba yang beriman kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “apabila tiba bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup semua pintu neraka dan dibelenggu semua syaitan”.

Dari segi bahasa, Ramadhan bermaksud panas terik. Ia merupakan bulan kesembilan dalam kalendar Hijrah. Dalam bulan Ramadhan, Allah s.w.t. mewajibkan umat Islam yang mukalaf berpuasa di siang hari sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran yang bermaksud, “Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barang siapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu….” (surah Al-Baqarah, ayat 185)

Di kesempatan hadirnya bulan Ramadhan, umat Islam harus merebut peluang yang ada dengan melaksanakan ibadah puasa dan lain-lain amalan soleh dengan bersungguh-sungguh di samping memohon keampunan dan keredaan Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.”

Dalam keghairahan menyambut Ramadhan janganlah kita mengabaikan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Seharusnya, di bulan Ramadhan kita semakin cergas dan bertenaga untuk melaksanakan tugas menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Berpuasa tidak seharusnya menjadi penghalang tetapi seharusnya menjadikan kita lebih kuat dan bersemangat untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih bermutu.

Oleh itu, rebutlah peluang dan gunakan masa yang ada dalam bulan Ramadhan untuk melakukan amal ibadah seolah-olah inilah Ramadhan yang terbaik dan terakhir untuk kita. Semoga Allah menjadikan kita insan yang bertakwa dan sentiasa berkasih sayang dalam rahmat Allah.

“Sekiranya umatku mengetahui kebaikan di dalam bulan Ramadhan nescaya mereka menginginkan agar sepanjang setahun semuanya menjadi Ramadhan.” (Al-Hadis)

Selamat Beribadah Di Bulan Ramadhan.

Abdullah Syukri bin M. Saleh

Ketua Pentadbiran Canselori

Universiti Malaysia Terengganu

1 Ramadhan 1437H