CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Soalan-soalan Lazim


Bilakah UMT mula ditubuhkan?

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bermula dari Pusat Perikanan dan Sains Samudera di bawah payung Universiti Pertanian Malaysia (UPM) (kini dikenali Universiti Putra Malaysia) bertempat di Mengabang Telipot, Kuala Terengganu. Ia mula beroperasi pada tahun 1979 bagi menyediakan kemudahan latihan kepada para pelajar Program Perikanan dan Sains Samudera dan kemudahan penyelidikan kepada pensyarah.

Pada bulan Jun 1996, UPM melalui penstrukturan semula program akademiknya telah menaik taraf Pusat Perikanan dan Sains Samudera kepada kampus cawangan dan Fakulti Perikanan dan Sains Samudera, UPM telah dipindahkan dari Serdang ke Kuala Terengganu dan ditukarkan nama kepada Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FSGT).  Selain itu, Fakulti Sains dan Sastera Ikhtisas (FSSI) serta Pusat Pengajian Matrikulasi turut ditubuhkan di kampus cawangan ini yang dipanggil Universiti Pertanian Malaysia Cawangan Terengganu (UPMT).

Pada 5 Mei 1999, Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Kolej Universiti Terengganu (KUT) sebagai kampus bersekutu UPM. KUT telah diberi kuasa autonomi pada 1 Mei 2001 dan pada 20 Jun 2001, ia dinamakan Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) selaras dengan hasrat kerajaan supaya kolej ini menerajui bidang sains dan teknologi.

Pada 1 Februari 2007, Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia sekali lagi memahat sejarah dengan penjenamaan semula sebagai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Perintah Universiti Malaysia Terengganu (Perbadanan) [P.U. (A) 27/2007].


Di manakah lokasi UMT?

UMT terletak di dalam daerah Kuala Terengganu. Lokasi kampusnya amat strategik iaitu di pesisiran pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu, Zon Perindustrian Gong Badak, Zon Pusat Pengajian Negeri Terengganu Darul Iman. Jarak UMT dari bandar Kuala Terengganu lebih kurang 25 km dan 3 km dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Kampus utama UMT adalah bersebelahan dengan kampus utama UniSZA.

Kod GPS : 5.4112586 , 103.0880375

 


Apakah falsafah UMT?

Ilmu dan amal yang berpadu berlandaskan keimanan kepada Allah adalah tonggak kepada usaha universiti menyediakan modal insan yang berwibawa untuk kesejahteraan sejagat.


Apakah visi dan misi UMT? 

Visi UMT ialah untuk menjadi sebuah Universiti berfokus marin terunggul dalam negara dan disegani di peringkat global. Misi UMT pula ialah untuk menjana ilmu untuk kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam.


Apakah nilai-nilai teras UMT? 

  1. Ghairah kepada kebenaran
  2. Mengejar kecemerlangan
  3. Pemerkasaan kepimpinan akademik
  4. Menghormati kepelbagaian keserakanan
  5. Menyemai kecintaan alam

Apakah bidang tujahan dan slogan UMT?

Bidang tujahan UMT ialah “Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik”, manakala slogan UMT ialah “Terokaan Seluas Lautan, Demi Kelestarian Sejagat”.


Apakah matlamat UMT dalam mendidik para pelajar?

Matlamat utama UMT ialah –

  • Menerokai segala ilmu dalam semua bidang yang berkaitan dengan Sains, Teknologi dan Pengurusan Sumber Alam melalui penyelidikan.
  • Menyediakan kemudahan terkini (makmal, perpustakaan, pengkomputeran dan persekitaran) sebagai menyokong pembangunan ilmu, pembelajaran dan kesarjanaan.
  • Menawarkan program pengajian yang cemerlang untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.
  • Menghasilkan graduan yang bertanggungjawab, berilmu, berkeyakinan dan berketrampilan.
  • Memainkan peranan aktif dalam pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan melalui perkhidmatan pengembangan kepada masyarakat setempat dan kawasan Pantai Timur Semenanjung dan Malaysia, amnya.

Apakah kemudahan asas yang disediakan oleh UMT?

UMT menyediakan kemudahan dan fasiliti yang kondusif untuk pelajar menimba pengetahuan dan mengasah kemahiran seperti kediaman pelajar, perpustakaan, pusat kesihatan, pusat kegiatan pelajar, dewan kuliah, makmal berpusat, makmal bergerak, stesen penyelidikan, peralatan menyelam, kapal penyelidikan, masjid, kafeteria, WiFi dan kemudahan sukan dan rekreasi.


Apakah program pengajian yang ditawarkan oleh UMT?

UMT mempunyai lapan (8) buah Pusat Pengajian yang menawarkan sejumlah 28 program pengajian ijazah sarjana muda dan diploma. Selain itu, UMT juga menawarkan program pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D). Malah, UMT merupakan satu-satunya universiti awam di Malaysia yang menawarkan Diploma dan Sarjana Muda dalam bidang Perikanan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman web UMT (Info Akademik).


Bagaimana UMT menguruskan semua hal-hal pelajar?

Secara amnya semua hal ehwal pelajar diuruskan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMT. Bahagian pengambilan pelajar dan urusan pelajar yang lain pula diuruskan oleh Jabatan Pengurusan Akademik, Pejabat Pendaftar.


Bahasa pengantar utama yang digunakan di UMT?

Bahasa pengantar yang digunakan adalah Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Terdapat beberapa bahasa lain yang diajar secara elektif iaitu Bahasa Arab, Bahasa Mandarin, Bahasa Jepun, dan Bahasa Sepanyol.


Siapakah yang boleh dihubungi sekiranya saya ingin berurusan dengan pihak UMT?

Pusat Komunikasi Korporat,

Universiti Malaysia Terengganu (UMT),

21030 Kuala Terengganu, Terengganu, MALAYSIA

Tel : +609-6684391  Faks : +609-6684390  E-mel : pro@umt.edu.my