CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa)

PROF. IR. DR. NOOR AZUAN ABU OSMAN telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mulai 1 November 2017. Beliau mempunyai kelulusan B.Eng. Hons. dalam Kejuruteraan Mekanikal dari University of Bradford dan MSc. serta Ph.D. dalam Bioengineering dari University of Strathclyde, United Kingdom.

Beliau merupakan Jurutera Bertauliah (C.Eng.), Fellow Jurutera Mekanikal UK (FIMechE), Jurutera Profesional Berkanun (C.PEng), Fellow Jurutera Australia (FIEAust), Ahli Saintis Berkanun (C.Sci.), Ahli Profesional dengan Institut Penyelidikan Klinikal, UK (MICR), International Professional Engineer (Int PE)  Australia dan Felo Akademik Sains (FASc) Malaysia. Beliau telah berkhidmat selama 22 tahun di Universiti Malaya dengan jawatan terakhir sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan, Timbalan Pengarah Pusat Biomekanik Gunaan dan Penyelaras Makmal Analisis Pergerakan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya.

Dalam pengajaran dan penyelidikan beliau adalah pakar bidang kejuruteraan mekanikal dan bioperubatan khususnya biomekanik, prostetik dan orthotics. Beliau memainkan peranan penting dalam mempromosikan bidang tersebut di Malaysia dan menjadi perintis yang mengasaskan program ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan (Prostetik dan Orthotik) di Universiti Malaya. Sehingga kini, beliau telah menyelia 20 pelajar Ph.D dan 26 pelajar Sarjana, menerbitkan lebih daripada 200 artikel jurnal berimpak tinggi dalam ISI dan 3 buah buku akademik dalam bidang kejuruteraan; Motion Analysis System (2001), Motion Analysis System An Integrated Approach (2009), dan An Integrated Approach for 3D Model (2010).

Prof. Ir. Dr. Noor Azuan juga telah mengambil bahagian dalam pelbagai pameran penyelidikan yang diadakan dalam dan luar negara dan telah memenangi pelbagai pingat dan anugerah. Beliau telah memfailkan 12 paten Malaysia dan 2 paten antarabangsa serta menjadi pengarah pengasas Bioapps Sdn. Bhd, syarikat terbitan universiti hasil daripada inovasi dan penyelidikan yang telah dijalankan.

Beliau juga telah menerima banyak anugerah dan pengiktirafan daripada pelbagai organisasi. Antara anugerah terbaik yang telah diterima ialah Anugerah BLESMA dari ISPO UK NMS sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan penting kepada perkembangan soket prostetik pada tahun 2004 dan “Hadiah Forchheimer”, anugerah paling berprestij dalam bidang Prosthetics & Orthotics dari International Society of Prosthetics and Orthotics pada tahun 2013 kerana sumbangan penyelidikannya kepada dunia prostetik.