CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

1 Juta Benih Udang Galah Dilepaskan Bagi Tingkatkan Sosioekonomi Komuniti B40

Sebanyak satu juta benih udang galah dilepaskan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di beberapa buah lokasi di sungai Terengganu bagi menunjukkan keupayaan Institut Akuakultur Tropika UMT dalam memulihara sumber berkenaan terus dikekalkan.

Institut Akuakultur Tropika dan Penyelidikan Perikanan (AKUATROP) yang merupakan pelopor dalam kajian penyelidikan haiwan krustasia di Malaysia telah menjalankan beberapa siri kajian bagi meningkatkan stok populasi udang galah di Terengganu.

Melalui Geran Translasional, kumpulan penyelidik UMT yang diketuai oleh Prof. Dr. Mhd. Ikhwanuddin Abdullah menggunakan penanda biologi udang galah yang pertama seumpamanya di Malaysia bagi memulihara dan meningkatkan stok populasi udang galah di Terengganu.

Menurut Ikhwanuddin, projek kali ini merupakan kesinambungan dari Projek Fasa 1 yang telah dijalankan pada tahun lalu.

“Pemilihan lokasi pelepasan anak benih ini berdasarkan hasil kajian yang menunjukkan usaha tangkapan per unit (Catch Per Unit Effort, CPUE) yang paling rendah di antara tiga sungai iaitu Sungai Nyatoh, Sungai Paka dan Sungai Terengganu.

“Melalui projek pelepasan benih ini dijangka dapat meningkatkan stok populasi dan memastikan pengurusan sumber udang galah yang mapan dilaksanakan di Sungai Nyatoh, khususnya dan sungai-sungai di negeri Terengganu, amnya”.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata program seumpama itu memberi impak kepada universiti dan juga komuniti setempat.

“Program penyelidikan dalam ternakan krustasia ini sebagai sumbangan UMT dalam meningkatkan pendapatan masyarakat setempat khususnya golongan B40. Apabila anak benih sudah mencapai usia matang kelak, ia bukan sahaja menstabilkan populasi udang galah, malah membawa limpahan rezeki kepada komuniti setempat yang rata-rata bekerja sebagai nelayan”.

Tambah Aieni, UMT sebagai universiti utama dalam bidang sains marin dan sumber akuatik mempunyai peranan penting dalam perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi kepada komuniti setempat melalui pengajaran dan pembelajaran, pembangunan penyelidikan, dan aktiviti pengembangan bagi memastikan kelestarian sumber dapat dikekalkan pada masa akan datang.


Pusat Komunikasi Korporat
Universiti Mlaaysia Terengganu