CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Terima 2,327 Pelajar Baharu Sesi 2019/2020

Kuala Nerus, 3 September 2019; Seramai 2,327 pelajar ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi kemasukan pelajar baharu sesi  2019/2020. Daripada pecahan tersebut seramai 681 terdiri daripada pelajar lelaki dan 1,663 pula pelajar perempuan.

Manakala seramai 17 orang pelajar antarabangsa termasuk dari Negara Yamen, Indonesia, Nigeria, Syria, Bangladesh, Thailand, Algeria dan India telah ditawarkan tempat bagi mengikuti pengajian Program Sarjana Muda di UMT.

Profesor Dato` Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT berkata pendaftaran pelajar pada tahun ini agak istimewa dengan penawaran 6 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), 4 pelajar orang asal dan 359 pelajar B40. Ini bermakna seramai 369 pelajar diterima melalui saluran khas kemasukan.

“Alhamdulillah UMT telah diberi kepercayaan untuk menguruskan dan menerima 6 orang pelajar Kelainan Upaya (OKU) pada tahun ini. Ini membuktikan pihak KPM semakin yakin dengan kemudahan yang mesra OKU yang terdapat di UMT”.

Tahun ini UMT turut menawarkan dua program pengajian baharu iaitu Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) dan Sarjana Muda Sains Komputer (Komputeran Mudah Alih).

UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) meneruskan perkhidmatan ‘Caravanserai’ khas kepada ibu bapa kurang berkemampuan yang mengiringi anak-anak mereka sebagai salah satu inisiatif kebajikan.

Perkhidmatan Caravanserai @ Masjid UMT yang memasuki tahun ke dua ini berkonsepkan penawaran kemudahan dan perkhidmatan percuma untuk memberikan kelegaan dan meringankan bebanan mereka yang bermusafir bagi meraikan impian anak-anak melanjutkan pengajian. Sepanjang tempoh pendaftaran bermula 1-3 September seramai 102 orang (termasuk bukan Islam) telah menggunakan perkhidmatan ini.

Tambah Profesor Dato` Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar lagi melalui Dermasiswa Al-Ikhlas seramai 600 pelajar asnaf dan B40 diberi sumbangan awal berjumlah RM300 setiap pelajar dengan peruntukan dari dana zakat dan kebajikan pelajar berjumlah RM180,000.00.

“Usaha ini menunjukkan keperihatinan UMT terhadap kebajikan pelajar yang memerlukan bagi meneruskan pengajian dengan lebih selesa.” Jelasnya.

 

Oleh:
Pusat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu