CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT Meterai MoU Dengan UIAM

GOMBAK, 27 Julai – UMT mengukuhkan hubungan kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) apabila memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dalam bidang sains marin dan persekitaran, kewangan Islam, hub halal dan keselamatan makanan, dan program-program Wanita Global.

“UIAM adalah sebuah universiti yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, dan hubungan kerjasama ini sudah pasti dapat meningkatkan kecemerlangan dan citra UMT apabila ahli akademik dan staf UMT dapat berkolaborasi dengan pakar-pakar yang terdapat di UIAM bagi mengukuhkan aktiviti akademik dan penyelidikan di UMT,” kata Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar semasa berucap dalam Majlis Menandatangani MoU antara UMT dengan UIAM di Pejabat Rektor, UIAM, semalam.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Rektor UIAM, Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin; Timbalan Rektor (Antarabangsa dan Jaringan Global) UIAM, Prof. Dr.Abdelaziz Berghout; dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof. Dr. Mazlan Abdul Ghaffar.

“UIAM turut mempunyai pakar dalam bidang sains marin dan oseanografi. Oleh itu, kerjasama ini sudah pasti dapat meningkatkan kecemerlangan Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT yang akan sama-sama melaksanakan aktiviti penyelidikan di Laut China Selatan,” katanya lagi.