Kuala Nerus, 1 Feb – Universiti Malaysia Terengganu telah melakar sejarah pada hari ini apabila melancarkan Studio e-Pembelajaran yang lengkap dengan kemudahan teknologi ‘augmented reality’ (AR) bagi membangunkan kursus-kursus Massive Open Online Course (MOOC). Pada masa ini, UMT telah membangunkan 8 kursus MOOC iaitu Sustainable Development, Principles of Ecology, Naval Architecture and Shipbuilding, Software Engineering, Sea Turtle Biology and Conservation, Environmental Management and Policy in Malaysia, Fish Parasitology dan Ornamental Fish Culture.
Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi sempena majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Pendidikan Tinggi (ICTLHE) di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar (Naib Canselor UMT) dan Prof. Dr. Mahadzirah Mohamad (Timbalan Naib Canselor UniSZA).
“Dalam melahirkan graduan yang holistik serta mendepani cabaran teknologi yang semakin berkembang pesat menuntut para pensyarah untuk mengubah corak serta kaedah pengajaran dan pembelajaran supaya lebih interaktif, berasaskan cabaran dan melibatkan pelajar secara aktif. Hal ini juga menyebabkan sektor pendidikan tinggi perlu direka bentuk semula agar sentiasa terkini dan fleksibel. Kementerian Pendidikan Tinggi telah merancang pelbagai inisiatif bagi merekabentuk semula sistem pendidikan tinggi negara seperti pelaksanaan program iCGPA, 2u2i, Jukebox, MOOC, APEL dan sebagainya. Malah sistem pengajaran dan pembelajaran di universiti perlu secara agresif menggunakan kepakaran teknologi dalam membantu pensyarah menyampaikan ilmu pengetahuan dan maklumat kepada pelajar pada setiap masa dan mudah dicapai. Penggunaan MOOC yang merupakan salah satu agenda pendidikan negara yang digariskan dalam Lonjakan Ke-9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) iaitu Pembelajaran Dalam Talian Secara Global, dapat membantu pensyarah dan pelajar dalam memahami sesuatu ilmu dengan lebih mudah dan cepat”, demikian kata beliau sewaktu menyampaikan ucaputama di Persidangan ICTLHE tersebut. Persidangan ini akan diadakan selama dua hari iaitu pada 1-2 Februari 2017 merupakan program kerjasama UMT dan UniSZA di bawah konsep ‘Kesepunyaan dan Keserakanan’.
Dalam majlis tersebut juga telah menyaksikan acara menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoA) antara UMT dengan Open Learning Global (M) Sdn. Bhd. bagi membolehkan UMT menjana pendapatan daripada MOOCs dengan menggunakan teknologi OLG dan seterusnya membolehkan sijil ditawarkan kepada pelajar di seluruh dunia.