UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UA dekati pelajar B40 melalui Sentuhan Kasih @ JPT 2019

KUALA BERANG – Buat julung kalinya Program Sentuhan Kasih @ JPT 2019 anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Negeri dan Universiti Awam diadakan di sembilan lokasi seluruh Malaysia bagi mendekati pelajar dari kumpulan B40.

Program Sentuhan Kasih Zon Pantai Timur yang diadakan pada 25 Julai itu merupakan lokasi kedua selepas program seumpama diadakan di Semporna pada minggu lalu.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selaku hos berganding bahu bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu (HUTECS) dalam menjayakan program itu bagi zon Pantai Timur.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dalam ucapannya berkata, HUTECS terpilih sebagai tuan rumah program itu berdasarkan lokasi yang strategik di Hulu Terengganu memandangkan program ini menyasarkan pelajar dari kumpulan B40, di samping HUTECS sendiri merupakan sekolah angkat UMT.

Dr. Noor Azuan meluangkan masa memberi taklimat kepada pelajar yang berkunjung ke reruai (booth) UMT.

“Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan penerangan dengan lebih jelas mengenai dasar kemasukan, syarat kemasukan, kaedah permohonan dan proses pemilihan pengambilan kepada pelajar bagi Lepasan SPM/Setaraf dan STPM/Setaraf dari kalangan masyarakat luar bandar terutama anak-anak kumpulan B40 di daerah ini yang bakal menduduki peperiksaan dan sedang menunggu keputusan peperiksaan,” ujar Dr. Noor Azuan berucap bagi mewakili Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar.

“Selain itu ia juga bertujuan untuk mempromosi serta menyebarluaskan maklumat mengenai program pengajian sedia ada serta program baru yang ditawarkan oleh Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan institusi lain bagi Sesi Akademik 2020/2021 dan ambilan bagi pembelajaran jarak jauh, pembelajaran secara separuh masa dan pembelajaran melalui kursus-kursus pendek,” tambahnya.

Program itu menurutnya lagi, mampu memupuk kesedaran masyarakat mengenai institusi-institusi yang menawarkan program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dengan kaedah pembelajaran yang berbeza daripada kaedah pendidikan yang formal.

Calon yang mempunyai pengalaman kerja dan ingin melanjutkan pelajaran melalui program PSH juga akan diberi penerangan mengenai Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Malah program ini mampu mendidik dan memupuk kesedaran di kalangan pemohon dan masyarakat B40 mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke UA, Politeknik, Kolej Komuniti & ILKA melalui UPUOnline (http://upu.moe.gov.my).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menyediakan mode kemasukan laluan khas ke IPTA bagi pelajar golongan B40, OKU, orang asli dan atlet sukan tanpa perlu bersaing dalam sistem meritokrasi.

Program Sentuhan Kasih ini juga merupakan siri jelajah UPU bagi kemasukan pelajar laluan khas khusus untuk golongan B40 ke IPTA, dengan matlamat supaya pelajar golongan ini tidak terpinggir dan tidak ketinggalan dalam arus perdana untuk mendapat peluang pengajian pendidikan tinggi.

Program turut mendapat sambutan kira-kira 700 pelajar terdiri daripada pelajar tingkatan lima dan enam sekolah di daerah Hulu Terengganu, Kemaman dan Kuala Nerus.

Amirul Salam, UMT