UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Sematkan Keikhlasan Dalam Jiwa

ikhlas-dalam-jiwa

Ikhlas ialah niat melakukan sesuatu amal atau sesuatu pekerjaan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah taala tanpa menyekutukanNya dengan sesuatu yang lain. Menurut Imam Qurtubi pula, ikhlas ialah membersihkan segala perbuatan daripada bertujuan untuk mendapatkan perhatian makhluk. Ikhlas merupakan salah satu sifat terpuji yang sangat dituntut dalam Islam, baik dalam melaksanakan ibadah khusus, mahupun dalam melaksanakan kerja-kerja harian. Justeru, kita dituntut supaya membuat pengakuan dan melaksanakannya dalam setiap amalan.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-An’am ayat 162 yang bermaksud, “Katakanlah : sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.” Kata-kata pengakuan ini juga sunat dilafazkan sekurang-kurangnya lima kali dalam sehari semalam, iaitu dalam solat lima waktu, ketika membaca doa iftitah, ia juga merupakan pengakuan yang melambangkan keikhlasan seseorang dalam semua urusannya, solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya semata-mata kerana mencari keredhaan Allah.

Ikhlas juga merupakan amalan hati yang sangat penting, tanpa ikhlas segala amalan baik tidak akan diterima oleh Allah, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis kudsi, bahawa Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Aku terkaya daripada dipersekutukan. Sesiapa yang melakukan sesuatu amal dengan menyekutukan Ku dengan yang lain, Aku tinggalkannya bersama dengan yang disekutukannya (Aku tidak akan menerima amalannya).” (Riwayat Muslim)

Antara kelebihan ikhlas ialah :-

  1. Amalan yang sedikit tetapi dilakukan dengan ikhlas lebih baik daripada amalan yang banyak tanpa ikhlas. Saidina Ali r.a. berkata yang bermaksud, “Janganlah kamu risau tentang sedikitnya amal tetapi hendaklah kamu risau tentang penerimaannya, kerana Nabi s.a.w. bersabda kepada Muaz bin Jabal : “Hendaklah kamu beramal dengan ikhlas, nescaya memadai untukmu sekalipun sedikit.”
  2. Ikhlas dapat mengatasi godaan syaitan. Allah s.w.t. telah menceritakan tentang pengakuan syaitan dalam surah Sad ayat 82-83 yang bermaksud, “Iblis berkata : Demi kuatkuasa (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat Adam itu, yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan.”
  3. Ikhlas mendorongkan seseorang ke arah melakukan segala kebajikan. Al-Junaid berkata : “Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang faham tentang agama, setelah mereka faham mereka beramal. Apabila mereka beramal, mereka ikhlas dalam amalannya, maka dengan keikhlasan itu akan mendorongnya ke arah seluruh pintu kebajikan.”
  4. Ikhlas menjamin kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Menurut Muhammad bin Said Al-Maruzi : “Setiap ketentuan daripada Allah wajib kita redha dan setiap amalan dan perbuatan kita kepada Allah, wajiblah ikhlas kerana Allah. Sesiapa yang hadir di dalam jiwanya kedua-dua sifat ini (redha dan ikhlas), maka berbahagialah dia di dunia dan di akhirat.”
  5. Ikhlas mampu menghalang sifat riak, yang merupakan salah satu daripada sifat golongan munafik. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nisa’ ayat 142 bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap agama Allah dengan perbuatan pura-pura beriman sedangkan mereka dalam keadaan munafik. Mereka pula, apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka hanya bertujuan riak untuk memperlihatkan sembahyangnya kepada manusia supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman, dan mereka pula tidak mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”
  6. Ikhlas mencegah daripada perbuatan syirik kecil. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya benda yang paling aku takut ke atas umatku ialah syirik kecil. Para sahabat bertanya : Apakah dia syirik kecil itu ya Rasulullah? Baginda menjawab : Iaitu riak.” (Riwayat Ahmad)

Ciri-ciri orang yang bersifat ikhlas pula ialah :-

  1. Orang yang ikhlas sentiasa bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amalan atau pekerjaan, demi mencari keredhaan Allah, sama ada dalam keadaan bersendirian atau di khalayak ramai.
  2. Orang yang ikhlas terpelihara daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah ketika menjalankan tugas yang diamanahkan seperti mencuri tulang, menipu, pecah amanah, rasuah dan sebagainya.
  3. Orang yang ikhlas hatinya sentiasa tenang dan hidupnya sentiasa bahagia, kerana tidak terdapat dalam hatinya sifat-sifat mazmumah, seperti sombong, hasad dengki, iri hati, dan sebagainya, malah ia sentiasa ingat kepada Allah dengan bersifat qanaah, bersyukur dan sabar.

Kesimpulannya, kesan dan natijah daripada keikhlasan yang tersemat dalam jiwa, akan lahirlah amalan atau pekerjaan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh, beramanah, dan sentiasa meningkatkan prestasinya demi mencari keredhaan Allah s.w.t.

[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 17 Mac 2017]