UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Persediaan Awal Banjir Kurangkan Risiko Kemusnahan

G1Rakyat Malaysia sudah biasa dengan bencana banjir malah ia juga dikenali sebagai ‘Pesta Air’ di kalangan penduduk tempatan. Namun, pada penghujung tahun 2014, beberapa buah negeri di Malaysia iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak telah mengalami bencana banjir yang paling buruk pernah dicatatkan semenjak tahun 1971. Bencana ini telah mengakibatkan kehilangan 25 nyawa, lebih 500,000 penduduk terjejas dan kerosakan harta awam yang dianggarkan bernilai lebih RM2.85 bilion.G3

Menyedari akan keburukan bencana ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN) dan beberapa buah universiti awam iaitu UMT, UMK, UTM, UKM dan USM telah menjalankan kajian forensik bencana banjir bagi meneliti faktor penyebab banjir, keberkesanan amaran awal, kesedaran awam, kesiapsiagaan komuniti terjejas, dan keberkesanan operasi bantuan dan menyelamat serta aktiviti pasca-bencana. Pasukan forensik banjir ini telah diketuai Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo selaku Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar MPN.

Oleh itu, pada 28 Mei 2015 yang lalu, UMT dengan kerjasama Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kementerian Pendidikan Malaysia telah menganjurkan program Dialog Bencana Banjir 2014 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Program tersebut telah dirasmikan oleh Tan Sri Prof. Dr. Zakri Abdul Hamid, Penasihat Sains Kepada YAB Perdana Menteri merangkap Pengerusi MPN. Seramai hampir 300 peserta telah menghadiri program Dialog Bencana Banjir ini yang terdiri daripada Pihak Berkuasa Tempatan, agensi kerajaan, ahli akademik, penyelidik dan NGO. Para peserta juga telah memberikan input, berkongsi pengalaman dan memberikan cadangan penambahbaikan dalam membudayakan pengurusan pengurangan risiko bencana bagi memastikan pembangunan negara terus rancak tanpa mengesampingkan kesejahteraan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar.

G7 G4

“Kerangka Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana (2015-2030) telah diterima oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia termasuk Malaysia pada 18 Mac 2015. Kerangka Kerja tersebut mengakui bahawa bencana, disebabkan oleh kesan daripada perubahan iklim, akan menghalang kemajuan ke arah pembangunan lestari” kata beliau semasa merasmikan dialog tersebut. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya bencana seperti banjir ialah kemiskinan dan ketidaksamaan, kemajuan bandar yang pesat dan tidak terancang, pengurusan tanah dan penyusunan institusi yang lemah, kurangnya penguatkuasaan undang-undang, teknologi sedia ada yang terhad dan ketiadaan insentif bagi pihak swasta untuk melabur bagi mengurangkan risiko bencana.

G5 G6

Namun, bencana banjir di Malaysia boleh diatasi melalui kaedah meningkatkan penggunaan sains dan teknologi dalam industri, menambah baik sistem saliran dan lembangan sungai, meningkatkan keupayaan meramal bencana banjir, mewujudkan indeks risiko banjir, melaksanakan sistem amaran awal banjir yang berkesan, menambah baik sistem perancangan guna tanah dan kawalan pembangunan di peringkat tempatan, memberikan pendedahan kepada komuniti, dan pengurusan bantuan bencana yang bersepadu.

Allah s.w.t. telah berfirman dalam ayat 41 Surah Ar-Rum yang bermaksud, “Telah timbul berbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

 

Disediakan oleh :-

Abdullah Syukri bin M. Saleh,
Ketua Pentadbiran Canselori
3 Jun 2015
Foto : Media Kreatif, PKKPC