UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Mukjizat Israk dan Mikraj

Peristiwa israk dan mikraj dalam bulan adalah anugerah Allah kepada Rasulullah SAW setelah berlakunya kematian dua insan yang amat bermakna dalam hidup Baginda iaitu Ummu Mukminin Saidatina Khadijah r.a. isteri Baginda yang amat dicintai, dan Abu Thalib bapa saudara yang menjaga Baginda sejak kecil. Maka pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah, Allah SWT telah menganugerahkan Rasulullah SAW dengan peristiwa israk dan mikraj. Firman Allah SWT dalam surah Al-Israk, ayat 1 yang bermaksud, “Maha suci Allah Taala yang telah menjalankan hamba-Nya Muhammad SAW pada malam hari dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Israk bermaksud perjalanan malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Mikraj pula bermaksud perjalanan Baginda dari Masjidil Aqsa ke langit ketujuh sehingga Sidratul Muntaha. Perjalanan ini berlaku secara jasad dan roh Rasulullah SAW dengan diiringi oleh Malaikat Jibril a.s.

Kita diwajibkan beriktikad dan menyakini dengan sepenuh hati bahawa israk dan mikraj adalah benar-benar berlaku kepada Baginda SAW. Beriman dengan israk dan mikraj menuntut kita memahami erti mukjizat. Mukjizat merupakan perkara yang mencarik adat iaitu menyalahi kebiasaan yang berlaku kepada para Nabi a.s. Ertinya perkara mukjizat adalah sesuatu yang harus pada akal, namun berlaku menyalahi adat kebiasaan.

Contohnya, api pada adatnya dapat membakar, namun harus bagi Allah menjadikan sesuatu tidak terbakar apabila bersentuhan dengan api, seperti yang berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s. Walaupun Baginda dicampak oleh Namrud ke dalam api yang marak membara, Baginda tidak terbakar bahkan merasa sejuk dan selesa di dalamnya. Ini adalah kerana api merupakan makhluk Allah yang patuh dan tunduk kepada penciptaannya, boleh menjadi panas dan sejuk mengikut ketentuan Allah. Namun, sunatullah dan ketentuan Allah telah menetapkan bahawa api bersifat membakar pada keadaan biasa. Maka harus bagi Allah menjadikan api tidak panas dan tidak membakar sebagaimana yang berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s.

Jika kita teliti kisah israk dan mikraj Rasulullah SAW, kita dapati kafir musyrikin Mekah mengingkari peristiwa israk dan mikraj. Pada mereka, cerita tersebut adalah tidak masuk akal kerana pada zaman itu, perjalanan daripada Mekah ke Baitul Maqdis mengambil masa sebulan, sedangkan Nabi Muhammad SAW pula mengatakan bahawa Baginda pergi ke Baitul Maqdis dan pulang dalam tempoh sebahagian malam sahaja. Mereka hanya bersandarkan kepada hukum adat kebiasaan, dan bukannya logik akal. Buktinya kini, dengan kemajuan zaman, seseorang mampu pergi ke tempat yang jauh dalam tempoh masa yang singkat menggunakan kenderaan seperti kapal terbang atau jet. Ilmu sains telah membuktikan bahawa mukjizat israk dan mikraj bukannya satu perkara yang mustahil. Begitu juga dengan peristiwa Baginda merentas langit sehingga ke langit ke penghujung alam. Cerita ini mungkin sukar diterima pada zaman dahulu. Namun kini, sains membuktikan bahawa perkara ini bukanlah satu yang mustahil.

Sebagai seorang hamba, kita wajib beriman bahawa Allah sebagai pencipta dan pentadbir alam semesta, mampu melakukan semua perkara yang harus berdasarkan kehendak-Nya. Seluruh alam ini di bawah takluk qadar dan iradat Allah Taala. Firman Allah Taala dalam surah Al-Imran ayat 189 yang bermaksud, “Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Kita juga perlu akui bahawa akal yang diberi Allah Taala kepada kita merupakan makhluk ciptaan Allah yang ajaib dan penuh rahsia. Kadang-kala akal tidak dapat memahami makna dan hikmah sesuatu mukjizat yang berlaku. Namun, dengan berkembangnya teknologi dan peredaran zaman, Allah menzahirkan dan mendedahkan rahsia alam kepada manusia sebagai tanda kekuasaan dan kebenaran agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Begitu juga arahan dan larangan Allah yang terkandung dalam mukjizat agung Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Setiap suruhan pasti terdapat manfaat kepada hamba-Nya, manakala setiap larangan pasti terdapat mudharat yang ingin dijauhkan daripada hamba-Nya. Sains moden telah membongkar sebahagian rahsia ini dengan bukti-bukti saintifik. Antaranya, manfaat solat dan berpuasa, serta mudharat zina dan arak. Kepatuhan kita kepada Allah hendaklah dibina atas dasar keimanan bahawa Allah Maha Mengetahui manfaat dan mudharat bagi manusia, walaupun sesetengah daripada tuntutan agama belum diketahui hikmah dan rahsianya.

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, marilah kita mengambil iktibar daripada peristiwa israk dan mikraj dengan mengukuhkan keimanan dan keyakinan kita terhadap kekuasaan Allah dan syariat-Nya. Akidah dan keimanan merupakan syarat yang paling penting bagi menjadikan diri seseorang terselamat daripada azab yang kekal di hari pembalasan. Akidah juga amat berkait-rapat dengan amalan dan akhlak seseorang. Kepatuhan terhadap syariat yang mulia merupakan natijah dan hasil daripada akidah yang suci murni dan teguh.

Oleh itu, bagi meningkatkan kefahaman terhadap akidah Islam, marilah kita hadir kelas-kelas pengajian berkaitan akidah. Janganlah kita memandang ringan pelajaran akidah dengan alasan kita sudah Islam sejak kecil lagi. Setiap zaman pasti mempunyai cabaran dan syubhah yang boleh diselesaikan dengan memahami akidah yang sahih. Semoga kita dikurniakan Allah Taala dengan keteguhan iman dan kefahaman tentang tuntutan syariat Islam.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 20 April 2018]