Setiap hari kita sering bersua, berjumpa, berkawan, bergaul dan berurusan dengan mereka yang dikategorikan sebagai jahil. Maksud kejahilan yang telah dijelaskan oleh para ulama ialah :-
Pertama : Orang awam Islam yang tidak tahu tentang ajaran agama mereka sendiri.
Kedua : Orang Islam yang berpelajaran tetapi jahil dalam ilmu dan ajaran Islam.
Ketiga : Golongan yang tahu tentang ajaran Islam tetapi tidak mengamalkannya.
Keempat : Warga yang tidak beragama Islam.
Persoalannya, bagaimana sewajarnya kita berhadapan dan menyantuni mereka. Dalam masa yang sama pula berharap mempengaruhi mereka untuk sekurang-kurangnya menghormati kesucian dan kemuliaan ajaran Islam.
Berpandukan beberapa panduan daripada Al-Quran dalam konteks hubungan dengan golongan jahil ini, pertama-tamanya perlu bersikap terbuka, bersangka baik, berlapang dada, penuh sopan dan positif, bukan dengan perasaan jelek, mencemuh dan menyombong diri, kerana kejahilan atau kekufuran mereka.
Sewajarnya mereka dilayani dengan baik dan penuh hormat. Sebaiknya kita bercakap atau berbicara dengan mereka penuh adab, tanpa menggunakan bahasa yang kasar atau kesat. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 83 yang bermaksud, “Dan ingatlah ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel, denga berfirman : Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang miskin dan katakanlah kepada sesama perkataan yang baik, dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling perjanjian setia kamu itu, kecuali sebahagian kecil dari kamu, dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.”
Kalimah An-Nas dalam ayat tersebut merangkumi golongan jahil dan kafir. Dari satu segi, mereka mesti dilayani sama dengan golongan sesama Islam, bukan sahaja dari segi percakapan malahan juga dalam muamalat seperti jual beli, berjiran tetangga dan rakan sekerja orang-orang Islam perlu berakhlak dengan mereka seperti menghormati, berlaku juur dan adil. Kejahilan agama dan sikap mereka yang tidak mesra nilai-nilai Islam itu seharusnya tidak menghalang untuk kita mendekati dan menyantuni mereka.
Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raaf ayat 199 yang bermaksud, “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah daripada orang yang jahil.”
Apa yang paling penting dalam menjaga hubungan baik dan bermuamalat mengikut syarak dengan golongan ini ialah, menzahirkan kebaikan dan keindahan Islam kepada mereka. Sesungguhnya, beristiqamah dengan sifat-sifat mulia dan menyantuni mereka dengan akhlak, mampu menanam sikap hormat mereka kepada Islam itu sendiri. Dengan cara itu, diharapkan terutama yang bukan Islam, dapat melihat keindahan Islam yang sebenarnya sebagai agama yang indah dan murni. Tidak sebaliknya, iaitu mereka menilai Islam sebagai agama atau cara hidup yang tidak bagus melalui pengalaman bergaul dengan orang-orang Islam yang tidak beramal dengan akhlak dan ajaran Islam.
Perlu disedari bahawa mereka tidak akan memahami kejituan dan keunggulan Islam melalui pembacaan umum semata-mata, selagi mereka tidak membaca dan mempelajari ilmu-ilmu agama dan kitab suci Al-Quran. Tapi dengan izin Allah, mereka diharap mengenali dan tertarik kepada Islam melalui pengalaman berkomunikasi dengan orang-orang Islam yang berakhlak mulia.
Apa yang paling asas dalam mendekati golongan jahil ini ialah prinsip, sikap dan iltizam kita kepada iman dan Islam yang tidak terjejas, walaupun sikap mereka yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Dalam situasi sedemikian, akidah, pegangan dan amalan Islam kita hendaklah tidak terkesan atau diketepikan semata-mata kerana bermuamalat atau mengambil hati mereka. Firman Allah SWT dalam surah Al-Qasas ayat 55 yang bermaksud, “Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil berkata : bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Selamat tinggallah kamu, kami tidak ingin berdamping dengan orang jahil.”
Demikian seharusnya sikap dan cara menyantuni dalam berkomunikasi dan bergaul dengan golongan jahil termasuk yang bukan Islam. Kita perlu teguh dan iltizam kepada pendirian, sikap dan keyakinan terhadap Islam, walaupun dengan siapa kita berhadapan atau mendampingi.
Kita hendaklah istiqamah dengan akhlak, amalan dan muamalat Islam sehingga tercapai ajaran dan nilai Islam pada sakhsiah. Natijahnya, kita disegani dan Islam tidak diperlekehkan. Seterusnya, tidaklah sukar menawan hati mereka untuk kembali insaf dan menghayati ajaran Islam. Kepada individu yang bukan Islam yang didampingi pula, tentulah kita mempunyai sebab yang kukuh dan penuh hikmah berdakwah, agar mereka terpanggil untuk mengucap dua kalimah syahadah. Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud, “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk.”
[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 16 Februari 2018]