UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Memahami Qadha’ dan Qadar

Setiap orang Islam yang benar keimanannya kepada Allah SWT pastinya ingin merasai kemanisan iman. Kenapa tidaknya, nikmat kemanisan iman adalah anugerah agung yang diberikan Allah SWT kepada hambaNya di dunia ini. Ini hanya akan dirasai, jika seorang muslim itu teguh beriman dengan segala rukun-rukun iman yang enam iaitu, beriman kepada Allah, malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari akhirat, dan qadha’ dan qadar.

Qadha’ ialah pelaksanaan Allah terhadap apa yang telah ditetapkan, manakala qadar bermaksud ketentuan dan ketetapan Allah sejak azali. Beriman dengan qadha’ dan qadar bererti menerima segala ketentuan dan ketetapan Allah dengan hati yang redha. Berkaitan dengan rukun iman keenam ini, Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ r.a. yang bermaksud, “Setiap sesuatu pasti ada hakikatnya, tidak akan sampai seorang hamba kepada hakikat keimanan sehinggalah dia mengetahui bahawa sesungguhnya apa yang ditimpanya tidak akan dapat dielaknya, dan apa yang tidak mengenainya pasti tidak akan menimpanya.” (HR Ahmad)

Dalam kehidupan harian, setiap saat kita tidak akan terlepas daripada qadha’ dan qadar Allah SWT. Segala sesuatu yang berlaku, adalah dengan ketentuan dan ketetapan yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. Firman Allah SWT dalam surah Al-Qamar, ayat 49 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan.”

Namun beriman dengan qadha’ dan qadar, tidak menafikan usaha dan balasan di atas setiap perbuatan hamba. Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah menegaskan, bahawa perbuatan hamba yang ikhtiyariyah yakni yang berlaku dengan pilihan dan usaha mereka adalah tertakluk di bahawa hukum syarak. Jika dia melakukan perbuatan amal soleh dengan ikhlas, maka dia akan dibalas pahala. Manakala jika dia melakukan maksiat, dia layak untuk mendapat hukuman dan azab, jika tidak bertaubat atau tidak diampunkan oleh Allah.

Dalam memahami hakikat usaha ini, terdapat golongan yang terpesong daripada jalan kebenaran. Sebahagian mereka menafikan usaha, dan hamba tiada daya upaya langsung seperti daun yang ditiup angin. Golongan ini, akhirnya meninggalkan beramal dengan hujah segala sesuatu telah ditentukan Allah Taala. Jadi mereka tidak perlu berpenat lelah beramal dan meninggalkan maksiat. Akidah sebegini dikenali dalam sejarah Islam sebagai akidah golongan jabariyah.

Alangkah jahat dan zalimnya mereka, meletakkan alasan dan kesilapan ke atas Tuhan, berselindung dengan kemalasan mereka disebalik hujah qadha’ dan qadar. Manusia yang waras sudah pasti dapat merasakan perbezaan antara perbuatan yang di luar kawalan seperti degupan jantung dan aliran darah dengan perbuatan yang diusahakan seperti makan dan minum. Makanan tidak akan datang sendiri begitu sahaja. Seseorang perlu menyediakan makanan, menghidangkannya dan memasukkan ke dalam mulut, mengunyah serta menelannya. Semua perbuatan ini berlaku secara sedar, dengan kehendak dan usaha seseorang. Berdasarkan usaha inilah seseorang itu diberi pahala atau dosa.

Seorang muslim yang memahami dan menghayati akidah dengan sebenarnya akan menjadi individu yang positif dan proaktif dalam kehidupan. Dia tidak akan menyalahkan Tuhan jika ditimpa sesuatu musibah. Bahkan dia akan beradab dan menyandarkan musibah itu kepada dirinya yang penuh dengan kelemahan dan kedaifan. Firman Allah SWT dalam surah As-Syura ayat 30 yang bermaksud, “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan atau bala bencana, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan dari perbuatan-perbuatan yang salah dan dosa, dan dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”

Seorang mukmin yang hakiki akan berusaha untuk meningkatkan amalan soleh dan memberi manfaat kepada orang lain dengan semampu yang mungkin. Inilah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat, ketika para sahabat bertanya tentang qadha’ dan qadar, Baginda menjawab, “Beramallah kamu, kerana setiap seorang dimudahkan untuk beramal mengikut apa yang ditentukan. Mereka yang ditentukan mendapat kebahagiaan (syurga) akan dimudahkan untuk beramal dengan amalan ahli syurga dan mereka yang ditentukan celaka (ahli neraka) akan dimudahkan untuk beramal dengan amalan seperti ahli neraka.” (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana setiap orang tidak mengetahui dirinya tergolong daripada ahli syurga atau neraka, maka tidak boleh dia mendakwa dia tidak perlu lagi beramal. Bahkan sepatutnya dia meningkatkan amalan, kerana amalan itulah yang akan menentukan tempatnya nanti di akhirat. Kita perlu beramal dengan amalan ahli syurga dengan harapan mendapat kebahagiaan di syurga seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW.

Sebagai mengakhiri khutbah Jumaat pada minggu ini, khatib ingin mengajak para jemaah sekalian menghayati erti beriman dengan qadha’ dan qadar melalui langkah-langkah berikut :-

Pertama : redha dan menerima dengan sepenuh hati segala perkara yang telah ditetapkan Allah.

Kedua : beriktiqad bahawa setiap hamba yang mukallaf mempunyai usaha dan kehendak yang menjadi asas bagi balasan baik atau buruk.

Ketiga : tidak berhujah dengan qadha’ dan qadar sebagai alasan untuk melakukan maksiat atau meninggalkan amal.

Keempat : berusaha dan beramal untuk meningkatkan diri dan mengejar kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Kelima : menjaga adab terhadap Allah SWT dengan tidak menyandarkan perbuatan keji dan terkutuk kepada Allah, bahkan menyandarkan kepada kelemahan diri sendiri.

Seterusnya untuk memahami dan menjawab kemusykilan yang ada dalam diri, kita perlu menghadiri kelas-kelas pengajian akidah yang diajar oleh guru-guru yang mahir. Jangan ambil remeh terhadap isu akidah kerana bahayanya amat besar. Semoga sedikit perkongsian ilmu pada hari ini dapat memberi manfaat kepada diri kita dan ahli keluarga kita.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 30 Mac 2018]