UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Guru Pembina Negara Bangsa

Guru dalam pandangan Islam menduduki satu tempat yang amat mulia. Fungsi guru yang berperanan mengeluarkan manusia dari kegelapan kejahilan kepada cerahnya cahaya keilmuan merupakan satu fungsi yang amat besar dalam pembinaan peradaban dan kemajuan sesebuah negara dan bangsa. Jika guru diibaratkan cahaya, bayangkan betapa gelapnya dunia ini, tanpa kehadiran guru sebagai cahaya yang meneranginya. Begitulah tingginya martabat seorang guru sebagai individu yang memiliki ketinggian ilmu, sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Al-Mujadalah, ayat 11 yang bermaksud, “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat dan ingatlah, Allah Maha Mendalam Pengetahuan tentang apa yang kamu lakukan.”

Kisah penurunan wahyu pertama di Gua Hira’ yang memberi penekanan kepada konsep Iqra merupakan satu isyarat yang penting terhadap kepentingan ilmu dalam Islam. Rasulullah SAW sebagai guru pertama kepada umat ini, terus-menerus berusaha keras dalam mendidik umat ini agar disinari dengan cahaya Islam.

Natijahnya sejarah telah menyaksikan bermula dari suatu masyarakat yang rendah keilmuan dan akhlaknya, telah bertukar kepada masyarakat yang dihormati dan disegani di bawah didikan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT dalam surah Al-Jumaah, ayat 2 yang bermaksud, “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang Arab yang ummiyyin, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka dari iktikad yang sesat, serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”

Guru sebagai individu yang memiliki ilmu merupakan pewaris para nabi sebagaimana yang dinyatakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi daripada Abu Darda’ bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi dan sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, sesungguhnya mereka hanyalah mewariskan ilmu, maka barang siapa yang telah mengambilnya, maka ia telah mengambil habuan yang sempurna.”

Mengambil dari semangat persamaan peranan guru sebagai penerus perjuangan para nabi, dalam membentuk umat yang beriman dan bertakwa, sewajarnya guru terus bersemangat dalam mendidik anak bangsa, kerana tugas ini bukanlah tugas kecil memandangkan guru adalah penerus kepada perjuangan para nabi. Justeru, khatib juga menyeru kepada semua ahli masyarakat agar sentiasa memberi sokongan yang padu kepada para guru, dengan itu proses pendidikan anak-anak dapat berjalan dengan lancar. Semoga anak-anak kita menjadi kebanggaan kepada agama, bangsa dan negara.

Dunia pendidikan hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tuntutan semasa yang terhasil dari gelombang globalisasi dan langit terbuka. Penggunaan laman-laman sosial juga perlu digunakan dengan cara yang betul, agar ia memberi kesan yang positifi kepada sistem pendidikan kita. Justeru, semua pihak termasuk guru, ibubapa dan masyarakat perlu berganding bahu dalam memartabatkan pendidikan, demi membina sebuah negara bangsa yang berkualiti. Jika permuafakatan ini dapat dijelmakan, maka pembentukan negara bangsa yang kukuh dan utuh dapat direalisasikan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib sekali lagi menyeru sidang Jumaat sekalian untuk sama-sama menghayati intipati khutbah yang disampaikan :-

Pertama : guru memiliki peranan yang sangat penting dalam membangunkan peradaban dan kemajuan sesebuah negara bangsa.

Kedua : kisah penurunan wahyu pertama di Gua Hira’ dengan memberi penekanan kepada konsep Iqra merupakan satu isyarat yang penting terhadap kepentingan keilmuan dalam Islam.

Ketiga : tugas guru bukanlah suatu tugas kecil, memandangkan guru adalah penerus kepada perjuangan para nabi.

Keempat : mewujudkan amalan permuafakatan antara semua pihak termasuk guru, ibubapa dan masyarakat dalam memartabatkan pendidikan demi membina sebuah negara bangsa berkualiti.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 12 Mei 2017]