UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Biduk Berlalu Kiambang Bertaut

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana seluruh masyarakat dan umat Islam di negara kita ini, dapat hidup dalam suasana yang aman dan damai. Salah satu aspek terpenting yang menyumbang keadaan ini adalah wujudnya perpaduan, semangat berkasih sayang dan persefahaman di kalangan seluruh kaum dan agama.

Perpaduan merupakan kunci kemakmuran dan kejayaan. Dengan perpaduan kita dapat bersatu tenaga dan fikiran, bagi melaksanakan sesuatu untuk kebajikan dan manfaat bersama. Tenaga seseorang individu tidak akan mampu melaksanakan berbagai tugas dalam kehidupan. Sebaliknya tenaga ramai yang disatupadukan boleh menghasilkan kejayaan yang berganda.

Kerana itulah, apabila terdapat umat yang bersatu-padu, maka kejayaan yang cemerlang akan dicapai, dan sebaliknya apabila perpecahan berlaku di kalangan umat, maka buruklah akibatnya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal, ayat 46 yang bermaksud, “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan. Kalau tidak, nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu, sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.”

Perpecahan dan perbalahan sudah pastinya akan merosakkan sistem pengurusan, sama ada dalam kehidupan keluarga, masyarakat dan negara. Lebih malang lagi sekiranya perpecahan dan perbalahan ini terjadi di kalangan sesama umat Islam, sebagaimana yang berlaku di beberapa buah negara Islam di Asia Barat seperti di Iraq, Libya, Syria dan lain-lain.

Negara-negara Islam ini adalah negara yang kaya dan aman suatu ketika dahulu, tetapi akibat daripada perpecahan dan perbalahan di kalangan rakyatnya, menyebabkan kuasa luar mengambil kesempatan dan akhirnya, umat Islam di negara berkenaan hidup dalam tangisan penderitaan hingga meninggalkan seribu penyesalan yang tidak memberi apa-apa makna lagi.

Saya ingin menarik perhatian jemaah sekalian, marilah kita mengambil iktibar dan pengajaran, daripada apa yang telah berlaku kepada negara umat Islam di seluruh dunia pada hari ini. Sebahagiannya kini menjadi medan perang dan pertempuran bermandikan darah, akibat daripada penduduk Islam bermusuhan sesama sendiri kerana perbezaan fahaman, pegangan dan pengaruh. Sedarlah bahawa sesungguhnya untuk membina kembali negara yang telah musnah akibat perpecahan, bukanlah suatu yang mudah dan sudah tentu akan memerlukan masa yang sangat panjang.

Hakikat yang perlu sedari, bahawa umat Islam di negara kita ini sedang menghadapi cabaran dan ujian yang getir. Cabaran besar apabila umat Islam telah dipisahkan melalui perbezaan ideologi kepartian yang membawa kepada berbilang kelompok yang merugikan, kerana setiap kelompok masing-masing akan berada di bawah kepimpinan yang enggan bertemu dan bersatu. Budaya politik yang sedang berlaku sangat membimbangkan, kerana setiap kelompok telah menjelmakan budaya asabiyah dan taksub yang melampau serta menganjurkan pemikiran bahawa kelompoknya sahaja yang benar dan kesetiaan kepada kelompoknya sahaja perlu diutamakan daripada kepentingan kelangsungan umat yang lebih menyeluruh.

Akhirnya, umat Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan mencari kelemahan antara satu sama lain. Banyak kata-kata yang diungkapkan mahupun tindakan yang dilakukan, semakin hari semakin mengheret umat Islam jatuh ke lembah yang lebih rendah. Akibatnya, keupayaan umat menjadi semakin lemah dan perpaduan menjadi hilang di hati umat.

Apa yang membimbangkan, seakan-akan umat Islam di negara ini sedang menghitung hari untuk terus bertahan ditampuk kekuasaan. Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan, maka akan bertambah lemahlah bangsa. Dan akhirnya, tidak ada lagi pihak yang menang kerana yang menang telah menjadi arang, sementara yang kalah menjadi abu.

Demi meningkatkan kekuatan umat, setiap muslim wajiblah belajar dari kesilapan, wajib meneliti keterlanjuran yang telah dilakukan, dan kembalilah ke pangkal jalan, lakukanlah pembetulan. Setiap muslim hendaklah bijaksana mengenal kawan dan tahu mengenal lawan. Jauhkan diri daripada berpatah arang berkerat rotan, dan merenung akan pentingnya menjiwai semangat kiambang selepas perahu berlalu, iaitu “biduk lalu kiambang bertaut.” Firman Allah SWT dalam surah Al-Imran ayat 105 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka, mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat.”

Perpaduan dan penyatuan umat adalah perkara yang wajib dilaksanakan atas semangat serumpun bangsa sealiran agama. Kesetiaan kepada perjuangan yang murni lagi suci, haruslah mengatasi kesetiaan kepada individu atau kumpulan.

Marilah kita sama-sama semarakkan semangat silaturahim, hayatilah hakikat bahawa melalui Melayu itu bangsa dan Islam itu agama. Bersatulah dalam semangat dan roh agama suci Islam yang sama-sama mengakui hakikat keesaan Allah, Tuhan yang satu. Nabi Muhammad SAW itu adalah rasul junjungan, Al-Quran itu kitab pegangan secara bersama bersepakat, menghadap kiblat yang sama, melakukan ibadah, solat serta menerima orang-orang Islam sebagai saudara seagama yang berkasih sayang.

Biarlah episod sejarah panjang pertembungan antara kelompok kepartian yang telah berlalu, tidak dijadikan penghalang kepada perpaduan. Jadikanlah apa yang telah berlaku sebagai sempadan untuk kita membina masa depan yang lebih cemerlang untuk umat dan negara. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Imran, ayat 103 yang bermaksud, “Dan berpegang teguhlah kamui sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu sekalian berpecah-belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu semua, ketika kamu bermusuh-musuhan maka Allah menjinakkan antara hati-hati kamu, maka kamu menjadi bersaudara, sedangkan kamu di atas tepi jurang api neraka, maka Allah mendamaikan antara hati kamu. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatnya agar kamu mendapat petunjuk.”

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 9 Februari 2018]