Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Salam 1 UMT
Warga Universiti Malaysia Terengganu yang dikasihi,
Alhamdulilah, bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin Nya kita dipertemukan sekali lagi dengan bulan yang penuh keberkatan, iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak.
Warga Universiti Malaysia Terengganu yang dikasihi sekalian,
Saya mengambil kesempatan sempena kedatangan Ramadhan 1436 Hijrah mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua warga UMT yang beragama Islam.
Sempena bulan yang penuh keberkatan, kita semua termasuklah saya sendiri diseru agar memanfaatkan setiap detik dan hari dalam bulan yang mulia ini dengan meningkatkan amalan-amalan berfaedah. Amalan-amalan itu mestilah dilaksanakan dengan penuh keinsafan dan keikhlasan termasuk muhasabah diri bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.
Pada kesempatan bulan Ramadhan juga, saya menyeru supaya kita semua mengambil peluang menguatkan lagi semangat “permuafakatan” serta meneliti segala peranan dan perancangan pembangunan kendiri yang mantap untuk universiti yang kita kasihi. Semangat itu boleh disemarakkan melalui program-program yang bakal diadakan di pelbagai peringkat jabatan dan pusat tanggungjawab (ptj). Pusat Islam UMT telah menjadi tumpuan untuk mengimarahkan lagi aktiviti-aktiviti sepeti majlis berbuka puasa, solat tarawih, tadarus Al-Quran yang sudah pastinya merupakan ibadah yang dapat menambahkan amalan di samping menguatkan lagi hubungan sesama kita. Kita amat bersyukur kerana tahun ini merupakan tahun pertama warga UMT menyambut bulan Ramadhan serta dapat mengerjakan amal ibadat bersama-sama di Pusat Islam yang indah ini. Syukur alhamdulillah.
Pada bulan mulia ini, kita digalakkan untuk banyak bersedekah dan berzakat bagi mengejar ganjaran pahala yang besar dan memenuhi tuntutan agama. Amalan ini sememangnya mempunyai hikmah tersendiri di mana ia dapat meningkatkan semangat prihatin dan nilai saling memberi bantuan di kalangan umat Islam. Ini adalah selaras dengan hasrat universiti menubuhkan tabung endowmen pendidikan UMT / wakaf bagi penjanaan pendapatan universiti. Mengambil keberkatan bulan Ramadhan ini, saya memohon kepada warga universiti agar dapat menghulur sedikit sumbangan masing-masing bagi menggerakkan pelaksanaan tabung tersebut.
Akhir kata, marilah, kita bersama-sama memanfaatkan sepenuhnya fadilat yang ada di bulan ini agar ianya dijadikan amalan berterusan. Semoga segala amalan dan usaha kita akan diterima dan dikurniakan ganjaran sewajarnya daripada Allah SWT. Saya mendoakan agar kita semua diberi kekuatan, hidayah dan inayahNya untuk meningkatkan ilmu, amal dan taqwa di bulan Ramadhan ini.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah,
Wasaalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh