UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Keperibadian Terpuji Perjuangan Dihayati

Alhamdulillah, kita sekarang berada di bulan Rabiulawal, bulan keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kelahiran Baginda adalah sebesar-besar rahmat Allah Taala kepada manusia dan alam keseluruhannya. Firman Allah Taala dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107 yang bermaksud, “Dan Kami tidak mengutuskan Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.”

Kebiasaannya, pada bulan Rabiulawal ini, pelbagai aktiviti diadakan bagi memperingati hari keputeraan baginda Rasulullah SAW. Sambutan bagi memperingati Maulidur Rasulullah SAW menurut Sheikh Ali Jum’ah, mantan Mufti Mesir, ia termasuk antara amalan yang afdal kerana sesungguhnya sambutan Maulidur Rasulullah SAW bertujuan menzahirkan kegembiraan dan memupuk kecintaan kepada Baginda Rasulullah SAW. Mahabbah atau cinta kepada Nabi SAW itu pula adalah antara asas daripada asas-asas keimanan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Demi Zat yang diriku berada dalam kekuasaanNya, tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku lebih dia cintai daripada ibubapa, anaknya dan manusia seluruhnya.” (Muttafaqun Alaih)

Hukum menyambut Maulidur Rasulullah SAW menurut ulama antaranya Imam Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani, Sultan Ulama Imam Izzuddin Abdul Salam, Imam Sayuti dan Imam Ibnu Hajar Al-Haitami, adalah sesuatu yang digalakkan. Pandangan ini juga selari dengan kenyataan Sheikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah r.h. dalam kitabnya Iqtidha Siratalmustaqim, maka membesarkan Maulidur Rasulullah SAW dan menjadikannya sebagai waktu atau musim yang dirayakan telah dilakukan oleh sebahagian manusia dan bagi mereka pada menyambut Maulidur tersebut ganjaran pahala yang besar kerana baiknya niat mereka dan kerana mereka membesarkan Nabi SAW.

Sambutan Maulidur Rasulullah SAW dengan cara berhimpun, membaca Al-Quran, berselawat, berzanji, berqasidah, dengan membaca kisah-kisah Nabi sejak kelahiran Baginda SAW dan membesarkan kedudukan Nabi SAW, adalah satu usaha dakwah supaya masyarakat dapat mengenal dan mampu menggambarkan sifat-sifat dan keperibadian terpuji Baginda Rasulullah SAW. Seterusnya dengan cara tersebut akan membantu masyarakat memupuk rasa cinta dan pautan kasih yang mendalam di jiwa. Akhirnya, timbullah keinginan yang bersungguh-sungguh untuk mengikuti dan mencontohi Rasulullah SAW secara zahir dan batin dalam menuju kesempurnaan identiti Muslim sejati. Firman Allah SWT dalam surah Al-Imran ayat 31 yang bermaksud, “Katakanlah wahai Muhammad. Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mengasihi.”

Adalah jelas sekali, bahawa sambutan Maulidur Rasulullah SAW adalah usaha dakwah yang sangat penting, terutamanya ketika masyarakat di negara ini keliru tentang identiti mereka. Pada hari ini, terdapat anggota masyarakat yang dikenali identiti keislaman mereka hanya pada nama, tetapi tidak pada budaya hidup mereka. Ketika mana urusan kehidupan moden melanda dan menghanyutkan saudara seagama kita dalam gelora kenikmatan dunia yang melalaikan, maka adalah menjadi kewajipan kita membimbing mereka supaya kembali menghayati akhlak Rasulullah SAW. Firman Allah Taala dalam surah Al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud, “Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah SAW itu, contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta pula menyebut dan banyak mengingati Allah.”

Sesungguhnya, usaha membina keperibadian umat yang mampu mengharungi segala cabaran arus globalisasi hanya dapat ditampilkan melalui akhlak Islamiyah. Teladan yang paling sempurna (uswatun hasanah) yang memancarkan ciri akhlak Islamiyah yang mulia hanya dapat dijelmakan daripada peribadi Rasulullah SAW yang telah diiktiraf oleh Allah SWT. Firman Allah Taala dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang bermaksud, “Dan bahawa sesungguhnya engkau wahai Muhammad mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.”

Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW adalah orang yang mengikuti dan menghayati sunnah Rasulullah SAW yang merangkumi pengucapan, amalan dan iktikad. Menghidupkan sunnah dan mengikuti Rasulullah SAW dalam setiap langkah kehidupan adalah bukti kecintaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 128-129 yang bermaksud, “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, dan amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman, kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah : Cukuplah bagiku Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia. KepadaNya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai arasy yang besar.”

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 1 Disember 2017]