UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Baitul Maqdis Ibu Negara Palestin, Bukan Israel

Pada 7 Disember 2017 bersamaan 18 Rabiulawal 1439H, Presiden Amerika Syarikat tanpa berselindung dan bermuka-muka lagi mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel. Pengisytiharan yang sudah lama ditangguh oleh Rejim Zionis sejak berdirinya negara haram Israel pada tahun 1948.

Apabila Baitul Maqdis ditawan oleh Israel pada tahun 1967, Israel tanpa segan silu mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel. Namun begitu pengisytiharan itu ditolak oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana bercanggah dengan permuafakatan dan undang-undang antarabangsa. Pengisytiharan ini dilihat sebagai satu bentuk pencerobohan ke atas hak rakyat Palestin.

Namun, Rejim Zionis tidak pernah menghormati dan mempedulikan undang-undang antarabangsa dan hak rakyat Palestin. Mereka tetap mempertahankan tindakan haram tersebut dan dengan bongkaknya melaungkan slogan tidak ada Israel tanpa Baitul Maqdis dan tidak ada Baitul Maqdis tanpa Haikal Nabi Sulaiman, rumah ibadah orang-orang Yahudi yang diimpi-impikan untuk menggantikan Masjidil Aqsa. Bahkan mereka sentiasa memanfaatkan sebarang kesempatan yang ada untuk mempertahankan pendirian tersebut. Ketika Presiden Mesir, Anwar Sadat dijemput oleh Presiden Israel pada tahun 1978 ke Baitul Maqdis untuk menandatangani Perjanjian Damai Camp David, Presiden Israel dengan penuh bangga berjabat tangan dengan Anwar Sadat sambil mengucapkan Selamat Datang Ke Jerusalem, ibu negara Israel! Begitu sekali umat Islam diabaikan, walaupun ketika menghulurkan salam perdamaian.

Umat Islam sudah acapkali diabaikan oleh Israel. Selepas terjadinya An-Naqbah tahun 1948, yang menyaksikan umat Islam kehilangan 78% tanah Palestin dan Baitul Maqdis terbelah dua, An-Naksah 1967 menyaksikan seluruh bumi Palestin dirampas oleh Israel. Pada tahun 1969, Masjidil Aqsa, masjid ketiga termulia dalam Islam dibakar hingga merosakkan sebahagian besar daripada binaan masjid. Israel kemudian mengisytihar Baitul Maqdis sebagai ibu negara mereka dan melaksanakan undang-undang rasmi mereka ke atas seluruh bandar tersebut meskupun ditolak oleh masyarakat antarabangsa.

Mereka membina tembok pemisah di tebing barat dan di Baitul Maqdis meskipun Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) memutuskan tindakan tersebut sebagai haram dan tembok tersebut perlu dirobohkan. Mereka robohkan rumah-rumah saudara kita di Palestin dan mengusir mereka dari Baitul Maqdis agar jumlah umat Islam di sana menjadi semakin mengecil. Mereka benarkan golongan ekstrimis Yahudi melawat Masjidil Aqsa, tetapi dalam waktu yang sama menafikan hak rakyat Palestin bersembahyang dengan bebas di Masjidil Aqsa. Mereka bahagi-bahagikan waktu ziarah dan ruang Masjidil Aqsa untuk orang-orang Yahudi, walhal mereka tidak berhak berbuat demikian ke atas tempat suci umat Islam.

Pada bulan Julai baru-baru ini, mereka tutup sepenuhnya Masjidil Aqsa dan menghalang umat Islam untuk solat di dalamnya menyebabkan buat pertama kali solat Jumaat tidak didirikan di dalam Masjidil Aqsa sejak tahun 1969. Terkini, mereka mendapat pengiktirafan yang mereka idam-idamkan sejak sekian lama daripada Amerika Syarikat agar Baitul Maqdis diakui sebagai ibu negara Israel.

Persoalannya, apakah kita akan terus membisu seribu bahasa tanpa bersuara menghadapi semua penghinaan ini? Apakah kita rela melihat umat Islam dirampas dan Masjidil Aqsa dicemar sebegitu rupa? Apakah kita sekadar melihat saudara-saudara seakidah kita di Palestin terus-menerus menanggung pelbagai penderitaan hidup di bawah penjajahan dan kezaliman? Di mana nilai kemanusiaan kita? Di mana nilai ukhuwah Islamiyah kita yang satu ketika dahulu begitu digeruni musuh?

Apakah kita sedang menanti Allah SWT mengirimkan burung ababil untuk memelihara Masjidil Aqsa sepertimana diutuskan ke atas tentera Abrahah yang ingin memusnahkan kaabah? Apakah kelebihan kita untuk dianugerahkan mukjizat sebesar ini, sedangkan lebih 1.7 bilion umat Islam hidup di sekeliling masjid ini berlapis-lapis dari Syam, Jazirah Arab, Hindu, hingga ke tanah jawi ini? Apakah kita sudah menjadi seumpama buih di lautan yang sudah tidak mempunyai sebarang nilai kekuatan lagi hingga dihanyutkan arus tanpa ada kehendak dan kemampuan untuk mempertahankan hak yang diamanahkan Allah dan RasulNya? Bagaimana mungkin kita mengharapkan bantuan dan kemenangan di sisi Allah dalam keadaan hina sedemikian?

Apakah kita lupa bumi yang sedang kita bicarakan ini, bumi yang sedang dinodai, bumi anbiya, bumi Israk dan Mikraj, bumi yang menjadi kiblat pertama umat Islam, dan bumi yang Allah syariatkan sebagai pusat keberkatan. Firman Allah Taala dalam surah Al-Israk ayat 1, yang bermaksud, “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Apakah kita terlupa pesanan-pesanan Rasulullah SAW tentang tanggungjawab kita kepada saudar sesama muslim dan ganjaran yang Allah SWT janjikan kepada mereka yang memelihata keselamatan dan kesejahteraan saudaranya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Seorang Muslim adalah saudara kepada sesama Muslim, tidak menganiayainya dan tidak akan membarkan dizalimi orang lain. Dan sesiapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Dan sesiapa yang melapangkan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan sesiapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim)

Apakah kita terlupa tanggungjawab jihad untuk membantu membebaskan bumi Islam yang terjajah? Rasulullah SAW telah memberi amaran kepada mereka yang mencuaikan Baitul Maqdis dengan sabdanya yang bermaksud, “Sentiasa ada di kalangan umatku yang menyatakan kebenaran terhadap musuh mereka. Mereka mengalahkannya, dan tidak ada yang membahayakan mereka orang-orang yang menentangnya, hingga datang kepada mereka keputusan Allah Azza Wajalla dan tetaplah mereka dalam keadaan demikian.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?” Baginda bersabda, “Di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis.” (HR Ahmad dari Abu Umamah)

Mendengar semua ayat-ayat ini, apakah tidak tergerak sedikit pun iman kita untuk bangkit mempertahankan Baitul Maqdis? Jika ayat-ayat ini masih tidak membangkitkan kita, mungkin tidak ada lagi yang mampu membangkitkan kita buat selama-lamanya.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama umat Islam seluruh dunia menyatakan sokongan dan kebersamaan kita dalam memperjuangkan bumi Palestin khususnya Masjidil Aqsa dari jajahan Yahudi laknatullah. Marilah kita melakukan solat hajat sama ada secara berjemaah atau secara bersendirian dari masa ke semasa. Perbanyakkanlah doa kepada Allah SWT bagi memohon keselamatan rakyat dan negara Palestin. Hulurkanlah sumbangan dan derma melalui saluran-saluran yang diiktiraf bagi disampaikan kepada organisasi berkenaan di negara Palestin. Allah SWT berfirman dalam surah At-Taubah ayat 41 yang bermaksud, “Berangkatlah kamu, baik dalam keadaan merasa ringan atau merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah, yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 22 Disember 2017]