UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Bersatu Mencegah Budaya Maksiat

Sejak akhir-akhir ini, negara kita menjadi sasaran penganjuran acara-acara dan pesta-pesta hiburan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan tatasusila masyarakat yang beragama. Kita dihebohkan dengan penganjuran Pesta Arak (Oktober Fest) dan Tarian Gay yang dikatakan terbesar di dunia yang dirancang untuk diadakan di negara ini.

Ketika masyarakat dilanda kebimbangan akibat keruntuhan akhlak dan peningkatan gejala sosial terutama di kalangan remaja, kita tertanya-tanya apakah kewajaran untuk menganjurkan pesta-pesta sedemikian. Bukankah segala macam masalah sosial, ekonomi dan politik yang melanda umat adalah kerana sesetengah pihak yang mempertahankan bahkan memuja kesalahan, dosa dan kemaksiatan.

Apakah mungkin penganjuran pesta-pesta sebegini merupakan usaha berterusan pihak-pihak tertentu untuk meperlekehkan kewibawaan institusi agama dan menghakis kehidupan beragama dan tatasusila murni masyarakat di negara ini? Ini sepatutnya menjadi kebimbangan kita semua. Justeru, penganjuran ini perlu dibantah dengan tegas oleh semua pihak bagi menghantar isyarat yang jelas kepada pihak penganjur bahawa umat Islam menentang dan membantah dengan sekeras-kerasnya penganjuran pesta maksiat di negara ini.

Maksiat ialah suatu yang diingkarkan oleh syarak atau yang tidak disukainya, seperti meninggalkan sesuatu yang diwajibkan atau melakukan sesuatu yang diharamkan. Maksiat adalah satu penderhakaan dan penentangan kepada Allah SWT dan RasulNya. Dalam hal ini, maksiat itu terbahagi kepada beberapa tahap, iaitu –

Pertama : Maksiat yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam, seperti syirik dan kufur, antaranya seperti mempersendakan nama-nama Allah Yang Maha Suci dan Rasulullah SAW, merendahkan ketinggian dan kesucian agama Islam dengan meletakkannya setaraf agama dan ideologi yang batil, serta menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal.

Kedua : Maksiat yang membawa dosa besar, antaranya seperti berzina, menfitnah, mencaci-maki dan memutuskan tali persaudaraan Islam.

Ketiga : Maksiat yang membawa kepada dosa kecil, seperti melihat dan mendengar perkara yang diharamkan.

 

Setiap orang Islam wajib menjauhkan diri daripada maksiat. Sekiranya seseorang itu tergelincir atau terjebak dalam dosa dan kemaksaiatan, maka hendaklah dia segera bertaubat dengan taubat nasuha. Sesuatu dosa atau kemungkaran yang dilakukan itu pula tidak perlu dihebahkan atau diceritakan kepada orang lain kerana dikhuatiri dosa dan kemungkaran tersebut akan dianggap sebagai suatu kebiasaan. Apatah lagi kemungkaran atau maksiat tersebut dipertahan dan dibangga-banggakan. Abu Hurairah r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Setiap umatku dimaafkan dosanya kecuali orang-orang yang menzahirkan maksiat yang dilakukannya. Antara bentuk menzahirkan maksiat ialah seseorang yang melakukan maksiat dosa di waktu malam, sedangkan Allah SWT telah menutupinya, kemudian di waktu pagi dia menceritakan dengan berkata : Wahai fulan, semalam aku telah melakukan maksiat ini dan itu. Pada hal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Tuhannya, namun di pagi harinya ia telah membuka apa yang telah ditutupi oleh Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam ibnu Hajar Al-Asqalani menjelaskan bahawa mereka yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah orang fasik iaitu pelaku maksiat yang menzahirkan sama ada dengan menonjolkan, menghebahkan atau mengiklankan maksiatnya. Demikian juga mereka yang bercerita sesama sendiri tentang maksiat yang telah mereka lakukan adalah termasuk dalam golongan orang yang fasik.

Dalam konteks semasa, bentuk menzahirkan maksiat juga ialah menceritakannya melalui media massa seperti facebook, instagram dan lain-lain media sosial, termasuklah berkongsi gambar-gambar dan video yang tidak senonoh. Sesungguhnya menzahirkan maksiat dan berbangga-bangga dengannya menunjukkan sikap meringan-ringankan hak Allah SWT dan Rasulullah SAW dan suatu kedegilan dan kesombongan. Allah SWT amat murka terhadap mereka yang menzahirkan maksiat dan berbangga-bangga dengan maksiat tersebut.

Dengan kehendak dan kekuasaanNya, Allah SWT telah meletakkan keredaanNya dalam ketaatan hambaNya, serta kemungkaranNya dalam kemaksiatan. Allah SWT telah menjanjikan sesiapa yang mentaatiNya akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatNya, serta mengancam sesiapa yang menderhakaiNya, akan dimasukkan ke dalam neraka dengan keadilan dan kebijaksanaanNya. Sekiranya larangan-larangan Allah SWT itu bertujuan menjaga kerukunan dan kemaslahatan hidup manusia, maka melanggar larangan-larangan Allah SWT pasti akan menimbulkan kemudharatan hidup di dunia dan balasan azab di akhirat. Allah SWT mengingatkan hamba-hambaNya yang melanggar perintah mahupun laranganNya dengan ancaman dan azab yang pedih. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 14 yang bermaksud, “Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas syariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah ia di dalamnya, dan baginya azab siksa yang amat menghina.”

Maksiat dalam apa jua bentuk sama ada kepada Allah SWT, RasulNya SAW, kepada sesama manusia, bahkan terhadap makhluk lain boleh merosakkan agama dan akhlak serta kesejahteraan hidup individu, keluarga, masyarakat dan negara. Insaflah, sekiranya kemungkaran dibiarkan berleluasa tanpa disekat dan dibendung, kita sebenarnya telah mengundang laknat dan bencana daripada Allah SWT. Jika telah datang kemurkaan dan bala bencana daripada Allah SWT, maka ia bukan hanya menimpa ke aatas mereka yang mempromosi dan melakukan maksiat, malah meliputi sekalian yang lain. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal, ayat 25 yang bermaksud, “Dan jagalah diri kamu daripada berlakunya dosa yang membawa bala bencana, yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus tetapi akan menimpa kamu secara umum. Dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab siksanya.”

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 13 Oktober 2017]