UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Basahkan Lidah Dan Segarkan Hati Dengan Zikrullah

zikir-fatimah

Apabila bercakap mengenai zikir, pasti kebanyak masyarakat awam akan terlintas perbuatan menyebut tasbih, tahlil, tahmid, takbir, istighfar dan seumpamanya. Namun, Imam Nawawi dalam Kitab Azkar menukilkan perkataan Said bin Jubair r.a. dan para ulama bahawa, ” Sesungguhnya setiap orang yang melakukan ketaatan kerana Allah ialah orang yang berzikir dan mengingati Allah taala dan rasulnya.” Imam Atho’ rahimahullah menyebut, “majlis zikir ialah majlis yang menyebut perkara hala dan haram, bagaimana berjual beli, cara solat, puasa, nikah kahwin, haji dan seumpamanya.”

Maka mafhum zikir sebenarnya adalah luas dan tidak terhad kepada puji-pujian kepada Allah s.w.t. sahaja. Bahkan segala perkara yang berkaitan dengan ibadah, munakahat, muamalat dan segala amalan yang diniatkan ikhlas kerana Allah s.w.t. termasuk dalam pengertian zikir. Setelah memahami konsep sebenar zikir, khatib pada hari yang mulia ini akan menyentuh isu zikir yang berkaitan pujian kepada Allah dan Rasulullah s.a.w.

Zikir merupakan di antara perintah Allah yang terbanyak diulang di dalam Al-Quran. Allah taala juga menyuruh agar diperbanyakkan zikir sebagaimana firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 41-42, yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Untuk bersyukur kepada Allah ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebaik-baiknya dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.”

Zikir juga merupakan ibadah yang mudah dan tidak terikat dengan waktu dan keadaan. Allah menyatakan ciri golongan Ulul Albab (iaitu orang yang cerdik dan bijaksana) ialah mereka yang banyak mengingatinya dalam semua keadaan. Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 190-191 yang bermaksud, “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata, “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Zikir mempunyai banyak fadhilat dan kelebihannya. Dalam hadis qudsi riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a., sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Allah s.w.t. berfirman : Aku membalas hambaKu mengikut apa yang disangka terhadapKu. Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu sendirian, Aku ingatnya pada diriKu. Jika dia mengingatiKu secara berkumpulan, Aku ingatnya dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka (iaitu dalam kumpulan para malaikat).”

Alangkah bahagianya kita jika nama kita disebut oleh Allah di depan malaikat-malaikatnya yang mulia. Alangkah beruntungnya kita jika kita dinaungi oleh malaikat. Alangkah rahmatnya jika kita mendapat ketenangan daripada Allah s.w.t., sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, “Tidak duduk sesuatu kaum dalam keadaan berzikir kepada Allah Azza Wa Jalla, kecuali akan dinaungi oleh malaikat, diselubungi dengan rahmat, diturunkan ketenangan, dan mereka akan disebut disisi para malaikat.” (Hadis riwayat Muslim)

Antara isu yang hangat dibincangkan berkaitan zikir, ialah berzikir secara beramai-ramai atau melakukan halaqah zikir. Perkara ini sebenarnya bukanlah perbuatan bidaah, apatah lagi sesat, dalam hadis sahih riwayat Imam Muslim r.a. ada menyebut perbuatan zikir secara berjemaah telah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. dan diperakui oleh baginda sendiri. Daripada Abi Said Khudri, bahawa Muawiyah r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pada suatu hari keluar lalu mendapati satu halaqah para sahabat. Baginda bertanya, “Apakah sebab kamu berhimpun ini?” Jawab mereka, “Kami berhimpun untuk berzikir kepada Allah, memujiNya atas nikmat Islam yang dihidayahkan kepada kami.” Tanya Baginda lagi, “Demi Allah, adakah betul kamu tidak berhimpun kecuali niat itu?” Sahut mereka, “Ya, demi Allah, tidak kami berhimpun kecuali kerana itu.” Sabda Baginda, “Adapun aku menyuruh kamu bersumpah bukan kerana ragu-ragu terhadap kamu, tetapi Jibrail a.s. telah datang kepadaku dan memberitahuku bahawa Allah bermegah dan berbangga dengan kamu di depan para malaikatNya.” (Hadis riwayat Muslim) Maka tiada salahnya diadakan majlis zikir dan berselawat kepada Rasulullah s.a.w. secara beramai-ramai, selagi mana mematuhi etika syarak dan tidak melakukan perkara yang diharamkan.

Zikir membawa makna sebutan dengan lisan, ingatan pada hati dan kesedaran pada akal. Maka dapat difahami bahawa keadaan yang paling utama ialah menghimpunkan antara amal anggota lisan melalui sebutan zikir dan amal hati dengan mengingati Allah. Imam Abdullah bin Alawi al-Hadad dalam Risalah al-Mu’awanah menyebutkan bahawa cara terbaik untuk berzikir ialah dalam keadaan duduk, berwuduk, bersendirian, mengadap kiblat, tenang hati, dan menundukkan kepala. Kemudian berzikir kepada Allah dengan hati yang hadir dan penuh adab. Bibir yang sentiasa basah dengan zikrullah dan dilakukan dengan ikhlas serta penuh adab akan melahirkan natijah kepada diri seseorang di dunia dan akhirat. Firman Allah dalam surah al-Jumaah, ayat 10 yang bermaksud, “Dan ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

Marilah kita mempelajari dan mengamalkan zikir-zikir susunan para ulama yang diambil daripada sunnah Rasulullah s.a.w. Antara kita yang terbaik boleh dijadikan rujukan ialah Kitab al-Azkar, karangan Imam Nawawi r.a. Semoga Allah menjadikan lidah kita sentiasa basah dan hati kita sentiasa segar dengan zikrullah.

[Petikan khutbah Jumaat di Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 13 Januari 2017]