CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT aktifkan Bilik Gerakan Bencana

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana bagi memberi maklumat terkini dan bantuan kepada para pelajar dan kakitangan yang terjejas banjir.

Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, Bilik Gerakan Bencana dan talian hotline 24 jam ini dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta Pejabat Keselamatan.

Menurut beliau, terdapat beberapa kawasan berdekatan kampus iaitu Kampung (Kg) Tok Jembal, Kg. Gong Pak Jin, Kg. Pak Tuyu, Kg. Jati dan beberapa kawasan lain yang rata-rata merupakan kawasan kediaman pelajar UMT luar kampus (rumah sewa) turut dinaiki air.

“Selain itu, beberapa kawasan di dalam kampus UMT turut dinaiki air dan menyebabkan Bahagian Keselamatan UMT meminda laluan sedia ada untuk memudahkan pergerakan warga kampus keluar dan masuk, ” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru katanya, UMT amat menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan warga kampus ketika situasi yang penuh mencabar ini.

“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Pusat Sukan UMT turut dibuka bagi membolehkan para pelajar berpindah.

“Setakat jam 9.00 pagi ini seramai 20 orang pelajar telah berpindah ke PPS sementara tersebut dan kemudahan-kemudahan yang sepatutnya telah disediakan kepada mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud turut menyediakan bantuan zakat berjumlah RM100,000 kepada pelajar UMT dan komuniti setempat yang terkesan akibat banjir di negeri ini.

“Bantuan ini merupakan sumbangan dari Etiqa Family Takaful Berhad bagi meringankan beban mereka yang terjejas serta kerugian harta benda.

“Manakala sumbangan derma siswa bernilai RM10,000 bagi pelajar bukan muslim turut disediakan oleh pejabat HEPA kepada mereka yang terlibat, ” ujarnya.

Tambah Mazlan, melihat kepada pola hujan yang masih lagi melanda Terengganu, warga UMT adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan.

“Pastikan sentiasa menjaga keselamatan diri serta patuh kepada nasihat pihak berkuasa demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, ” ujarnya.

Katanya, pihak UMT juga menasihati para pelajar dan staf yang memerlukan bantuan dan pertanyaan, bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Bilik Gerakan Bencana di talian 09-6685059/4118.

Sumber : trdi.my