CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Integrity Run 2.0 tingkatkan penghayatan integriti pelajar

Seramai 250 orang pelajar UMT telah menyertai Program Integrity Run 2.0 anjuran Kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) UMT dengan kerjasama Unit Integriti UMT pada 17 November 2023 bertempat di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail UMT. Pertandingan larian sejauh 4.5km ini telah dirasmikan oleh Pendaftar UMT, Haji Zukiferee Ibrahim.

Menurut Ketua Unit Integriti UMT, Encik Abdullah Syukri M. Saleh, program Integrity Run 2.0 merupakan sebahagian daripada pengisian aktiviti sempena Sambutan Hari Integriti Nasional 2023 peringkat UMT yang disambut pada bulan November setiap tahun. Program ini diharap dapat memupuk serta meningkatkan penghayatan pelajar mengenai amalan integriti dalam pembelajaran dan kehidupan sebagai mahasiswa Universiti. Malah program seumpama ini juga diharap dapat memupuk semangat perpaduan sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan adat budaya.