CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

UMT lancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP)

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar telah melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) UMT 2023-2028 dalam Majlis Sambutan Hari Integriti Nasional 2023 peringkat UMT bertempat di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT pada hari ini.

Dalam ucapan perasmian, beliau telah menyatakan pelan ini merupakan rujukan induk UMT dalam menangani isu-isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam universiti. Pelan ini juga menggariskan pelan tindakan dan tanggungjawab bersama berdasarkan empat bidang keutamaan iaitu tadbir urus dan sumber manusia, akademik dan hal ehwal pelajar, penyelidikan dan penerbitan, kewangan dan pembangunan. Sejumlah 38 inisiatif telah direncana untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun.

Menurut beliau lagi, bersempena dengan sambutan Bulan Integriti Nasional Tahun 2023 dengan tema “Integriti Citra Malaysia Madani”, Unit Integriti UMT telah melaksanakan beberapa aktiviti seperti Integrity Beach Clean Up 3.0, Integrity Run 2.0, Pertandingan Fotografi, Poster dan Tik Tok Integriti 2.0, Khutbah Jumaat Khas Hari Integriti, Sembang Santai Integriti : “Gangguan Seksual, Hak Pelajar Untuk Didengari”, Syarahan Kelestarian Integriti Siri 4/2023 : “Integriti Penyelidikan : Apa Penyelidik Perlu Tahu?”.

Selain itu, Unit Integriti UMT turut mengadakan Program Wacana Integriti bertajuk ‘Rukun Madani Ke Arah Kecemerlangan Universiti Berintegriti Tinggi” yang telah dikupas oleh Dr. Rozaidi Abdul Rahim Razali, Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia.