CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Program Kelestarian Integriti Tingkatkan Kefahaman Pelajar Mengenai Gangguan Seksual

Seramai 180 orang pelajar UMT telah mengikuti Program Kelestarian Integriti mengenai “Gangguan Seksual : Hak Pelajar Untuk Didengari” yang disampaikan oleh Pegawai Integriti UMT, Encik Mohd Juhari Ab Kadir di Dewan Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT, malam tadi. Turut hadir Ketua Unit Integriti UMT, Encik Abdullah Syukri M. Saleh.

Menurut Encik Mohd Juhari, kebanyakan mangsa gangguan seksual adalah wanita, namun kaum lelaki juga tidak terkecuali menjadi mangsa gangguan seksual. Mengikut kajian yang dijalankan oleh PDRM dari tahun 2013 hingga 2017 mendapati 21 peratus daripada keseluruhan kes gangguan seksual yang dilaporkan dialami oleh kaum lelaki. Malah, kanak-kanak juga tidak terlepas dari menjadi mangsa gangguan seksual.

Program yang dianjurkan oleh Unit Integriti UMT dengan kerjasama Kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) UMT ini diharap dapat memberikan pendedahan dan kefahaman kepada pelajar UMT mengenai bentuk-bentuk gangguan seksual, hak dan peranan serta kaedah pelaporan sekiranya berlaku atau menjadi mangsa gangguan seksual.

Menurut beliau lagi, semua pihak perlu memainkan peranan yang serius menangani isu gangguan seksual yang kian meningkat di negara ini dengan mengambil langkah proaktif mencegah gangguan seksual, saling bekerjasama memikirkan dan melaksanakan intervensi-intervensi awal untuk menghindari berlakunya gangguan seksual. Semua pihak juga perlu memberikan sokongan moral dan perundangan kepada mangsa serta membantu mereka kembali ke dalam masyarakat.