CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

MoU UMT dengan UMRAH tingkatkan kerjasama dalam bidang perikanan dan maritim

UMT telah memeterai Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universiti Maritim Raja Ali Haji (UMRAH), Indonesia bagi meningkatkan hubungan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang perikanan dan maritim.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar, pihak UMT telah menjalin hubungan kerjasama dengan UMRAH semasa persidangan International Fisheries Symposium (IFS) 2022 di Vietnam dengan memeterai usaha jaringan melalui ‘surat niat’ atau “letter of intent”. Pada tahun ini, hubungan kerjasama tersebut telah diperkukuhkan dengan menaik taraf perjanjian daripada “letter of intent” kepada MoU.

Majlis pemeteraian MoU antara UMT dengan UMRAH telah diadakan di Bilik Jamuan Senat UMT pada hari ini. Turut hadir ialah Rektor Universiti Maritim Raja Ali Haji, Prof. Dr Agung Dhamar Syakti, Timbalan Rektor Akademik dan Perancangan UMRAH, Dr. Tengku Said Raza’I, dan Dekan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd. Effendy bin Abd. Wahid.