CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Pelajar UMT Raih Pendapatan RM30ribu Melalui Projek Siswa Mall

UMT telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan CelcomDigi Berhad sejak tahun 2021 melalui pembangunan Projek Siswa Mall bagi memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai keusahawanan digital yang dapat menambah sumber pendapatan mereka. Projek Siswa Mall yang dikendalikan oleh iCreate-UMT telah melatih seramai 1795 mahasiswa daripada 22 Institusi Pengajian Tinggi (Universiti Awam dan Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti) dengan mengkomersialkan produk mereka di peringkat nasional dan global sehingga mampu menjana pendapatan sendiri.
Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata seorang pelajar UMT iaitu Saudara Wan Daniel Ikhwan Wan Ahmad daripada Program Sarjana Muda Pengurusan (Maritim) telah mengikuti program ini dan berjaya menjana pendapatan sehingga mencecah RM30,000 melalui penjualan pelbagai produk di platform atas talian. Selain itu, UMT akan melaksanakan beberapa program dengan pihak Celcom seperti aplikasi projek Internet of Things (IoT) dalam penyelidikan akuakultur, inisiatif UMT di bawah program CEO@Faculty 1 dan 2 serta pemerkasaan projek Siswa Mall.
Beliau berkata demikian selepas sesi kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Berhad merangkap CEO@Faculty Programme UMT, Datuk Mohamad Idham Nawawi pada 7 April 2023.