Pusat Komunikasi Korporat dan Pembangunan Citra (PKKPC) telah mengadakan Majlis Apresiasi Media (MAM) UMT 2015 di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada 13 Januari 2015 yang lalu. Majlis yang penuh bermakna ini telah dirasmikan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim bin Komoo, Naib Canselor UMT, telah dihadiri oleh lebih 50 rakan media tempatan termasuk media cetak dan elektronik. Majlis ini bertujuan untuk meraikan dan menghargai jasa pihak media tempatan yang telah memberikan sokongan liputan kepada UMT dan secara tidak langsung mempromosi UMT sebagai sebuah insitut pendidikan tinggi awam yang cemerlang dalam bidang tujahan sains kelautan dan sumber akuatik di samping mengeratkan lagi silaturrahim kedua-dua pihak. Majlis yang bertemakan “An Evening In Paris” berlangsung dalam suasana santai dan penuh keceriaan. MAM 2015 juga telah dihiburkan dengan persembahan mantap artis youtube terkenal iaitu Elizabeth Tan dan juga artis youtube UMT sendiri iaitu Encik Hamizan Ishak.
Kumpulan Media Prima telah memonopoli beberapa anugerah apabila tiga wartawan dan dua jurugambar telah meraih lima anugerah utama MAM 2015 UMT.Wartawan sambilan Berita Harian (BH), Noor Aznida Alias memenangi kategori Berita Artikel Bahasa Melayu, manakala Ketua Biro Harian Metro, Mohd Nasif Badruddin bagi kategori Segmen Penyelidikan.Wartawan New Straits Times (NST), Nadia Badaruddin meraih bagi kategori Bahasa Inggeris.Jurugambar Rozainah Zakaria dan jurugambar sambilan, Syahirah Abdullah memenangi anugerah kategori Gambar Terbaik dan Am.
Kategori Berita TV Terbaik (Segmen Penyelidikan) dimenangi oleh wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Encik Khalid, manakala wartawan Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Tengku Mohamad Syamim Tengku Ismail memenangi kategori Gambar Terbaik (Segmen Pendidikan). Wartawan Awani, Tengku Sofwah memenangi kategori TV Terbaik (Segmen Am).
Pengamal media merupakan jurucakap dan agen promosi secara tidak langsung bagi sektor pendidikan tinggi Negara khususnya bagi UMT. Semoga kerjasama erat di antara UMT dan pihak media akan berterusan pada tahun-tahun yang akan datang. Tanpa kerjasama media adalah amat mustahil UMT dapat menempatkan diri sebagai antara universiti terbaik di Malaysia dan berada di tahap sekarang.