Pada 27 November yang lalu, Pejabat Jaringan Antarabangsa telah mengadakan UMT’s International Night 2014 bertempat di Foyer Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim. Program ini bertujuan untuk meraikan kepelbagaian budaya warga UMT yang turut terdiri daripada minoriti masyarakat antarabangsa. Program yang julung-julung kali diadakan ini telah mendapat sambutan hangat dengan penyertaan dan kehadiran hampir 500 orang, majoritinya ialah pelajar. Program yang dijadualkan bermula dengan pendaftaran para hadirin pada pukul 7.30 malam dikejutkan dengan kehadiran beratus orang pelajar seawal jam 6.50 petang. Mereka beratur untuk mendapatkan kupon makanan yang bernilai RM10 seorang. Seawal jam 7.10 malam, 100 kupon makanan telah habis dibahagikan kepada 100 hadirin yang terawal mendaftar. Kupon ini boleh digunakan untuk membeli makanan di bazar makanan antarabangsa.
Program dimulakan pada pukul 8.00 malam di Auditorium Mahyuddin dengan majlis perasmian oleh YBhg. Prof Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, Naib Canselor UMT. Majlis turut diserikan dengan kehadiran isteri beliau, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Norzaini Azman; Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Prof. Terence P. Hughes, Penerima Ijazah Kehormat dari James Cook University, Australia; Prof. Dr. Zulfigar Yasin, Dekan Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran; dan Prof. Madya Dr. Marinah Mohd Ariffin, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran. Persembahan tarian kipas yang dipersembahkan oleh Persatuan Pelajar Cina, dan persembahan silat daripada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia turut memeriahkan majlis perasmian tersebut.
Setelah majlis perasmian tamat, majlis diteruskan dengan lawatan tetamu kehormat ke bazar makanan antarabangsa. Terdapat 11 gerai makanan yang masing-masing menjual makanan tradisional dari negara India, Indonesia, Bangladesh, Amerika, Jerman, Rusia, Libya, China, Perancis, Jepun dan Malaysia. Antara menu istimewa yang dijual pada malam itu ialah corny dog, caramel apple, takoyaki, cake pops, canapés, couscous, vadey, aloo gobi, basbousa, California roll dan nasi beriani Bangladesh. Para tetamu kehormat diberi peluang untuk memilih sendiri hidangan untuk dinikmati dari gerai-gerai tersebut.
Antara acara yang turut diadakan pada malam tersebut ialah pertunjukan dan pertandingan pakaian tradisional yang disertai seramai hampir 30 orang. Pertandingan ini diadili oleh para tetamu kehormat yang menjadi juri pertandingan. Pakaian yang mendapat undian paling tinggi ialah pakaian dari Thailand dan pemenangnya dianugerahkan hadiah berupa glob kaca yang disampaikan oleh Naib Canselor sendiri. Semua peserta lain pula mendapat hadiah saguhati. Turut diadakan ialah pertandingan gerai terbaik yang dimenangi oleh gerai negara Rusia. Antara faktor yang melayakkan kemenangan gerai Rusia adalah kerana mereka menghias gerai mereka dengan menyediakan photo booth. Majlis ini disudahi dengan persembahan flashmob lakonan dan tarian India oleh para pelajar.