CANSELORI

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Menteri Pendidikan Tinggi Teruja Dengan Kebolehan Pelajar OKU UMT Dalam Sukan Pelayaran

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin begitu teruja dengan keupayaan dan kebolehan pelajar UMT terutamanya pelajar OKU dalam mengendalikan kapal layar. Beliau telah menyaksikan demonstrasi Kapal Layar Monsoon Cup (F36) UMT yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar UMT semasa mengadakan sesi lawatan kerja dan ramah mesra bersama pihak pengurusan UMT di Duyong Marina & Resort Kuala Terengganu pada 14 Februari 2023.
UMT merupakan universiti peneraju program pelayaran di kalangan Universiti Awam Malaysia apabila menubuhkan Pusat Latihan Pelayaran pada 1 Ogos 2019. Beberapa kejayaan telah diperoleh oleh pelajar UMT dalam sukan pelayaran, dan terkini pelajar wanita UMT telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam Kejohanan 19th Royal Langkawi International Regatta 2023 pada 9-14 Januari 2023.
Dalam sesi lawatan tersebut, beliau telah disambut oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr Mazlan Abd. Ghaffar dengan diiringi oleh semua ahli pengurusan UMT. Menteri Pendidikan Tinggi turut meninjau kapal penyelidikan UMT yang dikenali ‘RV Discovery’. UMT merupakan Universiti Awam Malaysia yang pertama memiliki kapal penyelidikan yang berkeupayaan melakukan kerja-kerja penyelidikan saintifik di perairan Malaysia. Kapal ini telah melaksanakan beberapa ekspedisi penyelidikan dan mampu belayar sejauh 4,000 batu nautika.